GAYA HIDUP

Dari Sulung Hingga Ke Bongsu, 11 Beradik Pilih Laluan Pengajian Agama

11/11/2025 10:16 AM

Oleh Mohd Afiq Zulkifli

KUALA LUMPUR, 11  Nov (Bernama) -- Tidak ramai ibu bapa dikurniakan peluang menyaksikan semua anak mereka menjejakkan kaki di menara gading, namun bagi pasangan Mohamed Omar, 72, dan Siti Rushana Awang Besar, 67, impian itu menjadi kenyataan apabila 11 cahaya mata mereka berjaya merealisasikannya. 

Lebih membanggakan, kesemuanya memilih bidang pengajian berteraskan agama dengan empat daripadanya merupakan hafiz al-Quran manakala dua lagi pemegang ijazah doktor falsafah (PhD), menjadikan keluarga besar ini lambang kejayaan pendidikan berteraskan agama, ilmu dan disiplin.

Kejayaan itu tidak terhenti di bangku universiti apabila sebahagian daripada 11 beradik itu kini berkhidmat sebagai pensyarah, guru, pendakwah, penulis serta usahawan dalam meneruskan peranan mereka menyebarkan ilmu agama, sementara dua adik bongsu keluarga ini masih lagi menuntut.

Siti Nurhuzun, 25, anak ke-10 dalam keluarga ini sedang menyambung pengajian peringkat PhD Usuluddin sementara anak bongsu Siti Nurhusaini, 22, di semester akhir Ijazah Tahfiz dan Qiraat, masing-masing di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) di Kedah.

Berkongsi rahsia kejayaan keluarga itu, Siti Rushana, pesara guru Bahasa Inggeris ini ketika dihubungi Bernama, berkata asas pendidikan anak-anak tidak bermula di universiti sebaliknya dibentuk sejak kecil melalui rutin di rumah seperti solat berjemaah, hafazan al-Quran dan disiplin.

“Kami sentiasa utamakan pendidikan dan belajar berjimat demi memastikan semua anak dapat belajar sampai ke peringkat tinggi dan sejak kecil mereka dibiasakan dengan solat berjemaah, hafazan al-Quran dan bangun seawal 5 pagi untuk tahajud sebelum mengulang kaji pelajaran,” katanya.

Ketika ditanya saat paling menyentuh hatinya, wanita ini berkata detik sangat diingatinya adalah semasa menyaksikan seorang demi seorang anaknya naik  ke pentas konvokesyen, sekali gus mengimbau tahun-tahun  yang penuh pengorbanan, usaha, cabaran dan doa dilalui mereka sekeluarga.

pic-2

“Kami tidak minta apa-apa balasan, hanya harap anak-anak jadi orang berguna, pegang agama dan memberi manfaat kepada ummah. Kalau ilmu mereka dapat membantu masyarakat, itu sudah memadai,” ujarnya yang  menetap di Kampung Seberang Pasir Mas, Salor, Kota Bharu Kelantan.

Permulaan keluarga ini dalam bidang agama selain asuhan ibu bapa bermula setelah anak sulung, Siti Nursima, 42, melanjutkan pengajian di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Kelantan pada 2003 sebelum mengikuti program 3+1 di Universiti Islam Negeri Sultan Thaha Saifuddin, Jambi, Indonesia.

Dia yang kemudiannya menamatkan sarjana al-Quran dan Hadis di Universiti Malaya (UM) dan kini menjalankan perniagaan sendiri menjadi perintis menarik minat adik-beradik lain mengikut langkah sama dengan memilih UniSHAMS sebagai laluan pengajian, terutamanya dalam bidang Usuluddin, Syariah sertaTahfiz dan Qiraat.

Selain dua adik bongsu yang sedang menuntut di institusi itu, lapan daripada mereka ialah Mohd Rusydi 40, Dr Siti Nuroni (38), Dr Siti Nurwanis (36), Siti Nurkhusna (35), Mohd Arham (33), Siti Nurjannati (31), Mohd Hikam (29) dan Mohd Abdul Hayyu (27).

Menurut Siti Nurwanis, anak keempat daripada 11 beradik itu yang juga pemegang PhD, antara faktor utama keluarganya memilih universiti sama ialah terdapat ramai pensyarah luar negara seperti Mesir, Jordan dan Sudan, sekali gus membantu pelajar menguasai Bahasa Arab dari sudut akademik dan komunikasi harian.

“Apabila kakak dan abang menunjukkan teladan dan memperoleh keputusan cemerlang, kami yang lain turut terdorong untuk mengikut jejak mereka. Satu demi satu masuk ke UniSHAMS, hinggalah hampir kesemuanya memulakan pengajian di sana, kecuali kakak sulung,” katanya.

Siti Nurwanis kini menumpukan dalam bidang penulis buku serta bidang motivasi, sementara empat adiknya pula merupakan penghafaz al-Quran iaitu Mohd Hikam, Mohd Abdul Hayyu, Siti Nurhuzun dan Siti Nurhusaini, pencapaian yang sangat membanggakan buat keluarga besar ini. 

Semestinya, perjalanan dan kisah keluarga Mohamed dan Siti Rushana ini menjadi bukti dengan asas disiplin, kesungguhan dan keutamaan terhadap ilmu agama, setiap impian mampu diterjemahkan menjadi kejayaan, sekali gus menjadi inspirasi kepada masyarakat.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2489323