JENAYAH & MAHKAMAH

Insiden Kepala Air: Kenderaan Ditemukan, Mangsa Masih Hilang

19/11/2025 02:30 PM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Kenderaan pacuan empat roda milik seorang lelaki yang masih hilang selepas dihanyutkan kepala air di Sungai Klang pada Isnin lepas, berjaya ditemukan pagi ini oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).  

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sazalee Adam berkata Mitsubishi Pajero itu ditemukan pada 8.30 pagi, kira-kira 1.5 kilometer (km) dari lokasi kejadian, apabila paras air sungai susut sekali gus memudahkan pengesanannya.

"Hasil pemeriksaan mendapati mangsa tiada di dalam kenderaan berkenaan, dan kereta tersebut telah dinaikkan serta diserahkan kepada syarikat pemilik kenderaan itu," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Terdahulu, operasi SAR yang memasuki hari ketiga bagi mengesan mangsa berusia 34 tahun itu disambung semula pagi tadi selepas ditangguhkan pada 6.30 petang semalam.

Menyentuh mengenai operasi hari ini, Sazalee berkata seramai 21 penyelam skuba daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Pasukan Polis Marin telah digerakkan selain turut menggunakan dron serta bot kecil atau kayak untuk menyusuri sungai.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Kuala Lumpur M. Fatta M. Amin pula berkata keadaan cuaca yang lebih baik selain arus tenang dan air jernih dimanfaatkan oleh pasukan SAR untuk melakukan pencarian secara menyeluruh menggunakan khidmat penyelam.

Beliau berkata pasukan penyelam akan ditempatkan di beberapa lokasi sepanjang 20 km sungai yang dibahagikan kepada empat zon, dan operasi itu kini turut diperluas dari Kuala Lumpur ke Selangor meliputi Puchong, Shah Alam dan Klang.

Insiden pada kira-kira 5.30 petang itu turut melibatkan 11 mangsa lain yang terperangkap di bawah jambatan namun mereka berjaya diselamatkan oleh JBPM.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2492599