KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Skuad bola sepak wanita kebangsaan memulakan kempen Sukan SEA 2025 dengan langkah kiri selepas dibelasah juara bertahan, Vietnam 0-7 pada aksi Kumpulan B di Stadium TNSU, Chonburi, malam ini.
Vietnam mendominasi permainan sebaik wisel dibunyikan dengan Pham Hai Yen menjaringkan gol seawal minit keempat diikuti Nguyen Thi Bich Thuy pada minit ke-23.
Hai Yen sekali lagi menemui sasaran pada minit ke-26 sebelum Tran Thi Hai Linh menambah jaringan buat Vietnam selang enam minit kemudian, sekali gus menyaksikan Malaysia ketinggalan 0-4 pada separuh masa pertama.
Aksi babak kedua menyaksikan Thai Thi Thao melengkapkan penguasaan pemenang emas edisi 2023 dengan jaringan hatrik pada minit ke-49, ke-59 dan ke-78, sekali gus memberikan permulaan sukar kepada Malayan Tigress dalam kempen Sukan SEA 2025.
Skuad Malaysia yang tiba di Chonburi pada Rabu akan menentang Myanmar pada 8 Dis sebelum bertemu Filipina pada 11 Dis di venue sama.
Juara kumpulan serta naib juara akan mara ke separuh akhir pada 14 Dis, manakala perlawanan akhir dan penentuan tempat ketiga dijadual berlangsung pada 17 Dis.
Untuk berita terkini mengenai Sukan SEA Thailand 2025, layari https://seagames.bernama.com.
-- BERNAMA