SUKAN

TFC Kongsi Mata Dengan The Cats Di SSMZA

06/12/2025 12:13 AM

KUALA NERUS, 5 Dis (Bernama) -- Terengganu FC (TFC) dan Kuching City FC  sekadar berkongsi satu mata selepas terikat 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), malam ini.

Pasukan pelawat mempamerkan permulaan agresif apabila hampir membuka tirai jaringan seawal minit keempat menerusi percubaan Ahmad Danial Ahmad Asri, namun bola sekadar melewati sebelah kiri gawang.

Pasukan tuan rumah yang melakukan serangan balas beroleh peluang pada minit ke-15 menerusi percubaan Rianderson Da Costa atau lebih dikenali sebagai Careca, namun rembatan terlalu tinggi menggagalkan peluang mencipta jaringan.

Gabriel Silva beroleh dua peluang keemasan untuk merobek gawang pelawat, namun disia-siakan.

Ketika aksi babak pertama tampak menuju rehat tanpa gol, Petrus Shitembi menjadi pemusnah harapan tuan rumah apabila meledak gol pada minit ke-44 untuk meletakkan The Cats di depan 1-0.

Babak kedua menyaksikan TFC hampir menyamakan kedudukan menerusi pemain lincah Muhammad Akhyar Rashid, namun jaringan itu dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati beliau berada dalam kedudukan ofsaid.

Pada minit ke-50 Kuching City FC hampir menggandakan kedudukan tetapi rembatan jarak jauh Muhammad Daniel Amir Norhisham sekadar menggegar palang.

Usaha tanpa henti TFC akhirnya membuahkan hasil apabila pemain gantian, Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob, muncul penyelamat dengan gol penyamaan pada masa kecederaan, sekali gus menghidupkan sorakan lebih 1,000 penyokong tuan rumah.

Aksi tegang di penghujung permainan bertukar panas apabila berlaku insiden pergaduhan, menyaksikan dua pemain — pertahanan Kuching City, Filemon Anyie dan pemain TFC, Muhammad Safwan Mazlan — dilayangkan kad merah.

Perlawanan tamat dengan kedua-dua pasukan terikat 1-1.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2499406