DUNIA

China Janji Sumbang US$100 Juta Bantu Palestin Tangani Krisis Kemanusiaan Di Gaza

06/12/2025 12:18 AM

ISTANBUL, 5 Dis (Bernama-Anadolu) -- Presiden China Xi Jinping telah menjanjikan sumbangan bantuan berjumlah US$100 juta kepada Palestin bagi membantu menangani krisis kemanusiaan di Semenanjung Gaza, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Xi membuat pengumuman itu ketika mengadakan perbincangan dengan Presiden Perancis Emmanuel Macron, yang menamatkan lawatan negara tiga hari beliau ke China pada Jumaat.

“China akan menyediakan US$100 juta bantuan kepada Palestin bagi meredakan krisis kemanusiaan di Semenanjung Gaza serta menyokong pemulihan dan pembinaannya semula,” kata Xi pada mesyuarat di Beijing pada Khamis, menurut kenyataan Kementerian Luar China.

Xi berkata dunia hari ini “jauh daripada aman” dengan pertikaian dan konflik politik antarabangsa yang rumit terus berlaku di pelbagai rantau.

“China dan Perancis akan bekerjasama bagi merealisasikan penyelesaian menyeluruh, adil dan berkekalan terhadap isu Palestin secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar China Lin Jian berkata pada Jumaat bahawa bantuan tersebut akan digunakan untuk kerja pembinaan semula pascakonflik bagi memperbaiki keadaan kemanusiaan di Semenanjung Gaza dan mengurangkan penderitaan rakyat Palestin.

“China teguh menyokong perjuangan rakyat Palestin dalam memulihkan hak negara mereka yang sah dan akan terus bekerjasama dengan komuniti antarabangsa bagi mencapai gencatan senjata penuh dan berkekalan di Semenanjung Gaza, meredakan situasi kemanusiaan, serta memastikan penyelesaian politik awal berdasarkan penyelesaian dua negara,” kata Lin pada sidang akhbar di Beijing.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2499408