TOKYO, 5 Dis (Bernama-Kyodo) -- Seramai 230 orang diserang beruang di Jepun antara April dan November tahun ini, jumlah tertinggi pernah direkodkan, menurut data awal kerajaan pada Jumaat, lapor Agensi Berita Kyodo.
Angka bagi lapan bulan pertama fiskal 2025 itu telah pun melepasi 219 mangsa serangan beruang yang dicatatkan dari April 2023 hingga Mac berikutnya (Mac 2024), iaitu rekod tertinggi sebelum ini sejak rekod mula disimpan pada fiskal 2006, menurut Kementerian Alam Sekitar.
Wilayah Akita mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan 66 kes, diikuti Iwate (37) dan Fukushima (24).
Pada November sahaja, 33 orang menjadi mangsa serangan beruang, termasuk seorang individu maut.
Sehingga 20 Nov, jumlah kematian akibat serangan beruang di seluruh negara juga berada pada paras tertinggi iaitu 13 kes.
Kerajaan Jepun mempertingkat langkah bagi menangani peningkatan serangan beruang terhadap manusia sejak kebelakangan ini.
-- BERNAMA-KYODO