TOKYO, 5 Dis (Bernama-Kyodo) -- Gempa bumi kuat yang mempunyai kebarangkalian tinggi untuk berlaku di bawah Tokyo dan kawasan berhampiran dalam tempoh beberapa dekad akan datang boleh meragut 18,000 nyawa dan menyebabkan kerugian ekonomi 83 trilion yen (AS$535 bilion) dalam senario terburuk, menurut draf anggaran kerajaan pada Jumaat.
Anggaran itu, berdasarkan senario gempa berukuran magnitud 7.3 yang melanda kawasan metropolitan, dilihat kurang teruk berbanding anggaran terdahulu pada 2015, namun masih tidak mencapai sasaran kerajaan ketika itu untuk mengurangkan separuh angka kematian dalam tempoh 10 tahun, lapor Agensi Berita Kyodo.
Penyemakan semula daripada anggaran 23,000 kematian dan kerugian ekonomi 95 trilion yen itu mengambil kira kemajuan usaha menjadikan bangunan lebih tahan gempa dan kebakaran.
Memandangkan Jepun terdedah kepada bencana alam, kerajaan merancang mengemas kini pelan asas bagi mempertingkat kesiapsiagaan bencana selepas pembentangan anggaran itu kepada panel pakar akhir bulan ini.
Gempa magnitud 7.3 yang dianggarkan itu lebih kecil berbanding gegaran magnitud 9.0 yang melanda timur laut Jepun dan menyebabkan beberapa loji nuklear Fukushima Daiichi mengalami kerosakan teruk pada 2011.
Kerajaan menjangka kira-kira 70 peratus kemungkinan gempa bumi sedemikian berlaku di Tokyo dan kawasan sekitarnya dalam tempoh 30 tahun - senario yang akan menjejaskan jutaan penduduk di kawasan metropolitan yang menempatkan pejabat kerajaan dan ibu pejabat korporat.
Dianggarkan kira-kira 400,000 bangunan boleh musnah dan 8.4 juta orang mungkin terkandas atau menghadapi kesukaran pulang ke rumah.
Bilangan kematian berkaitan bencana, seperti disebabkan kemerosotan kesihatan ketika berlindung, dianggarkan mencecah antara 16,000 dan 41,000, menurut draf tersebut.
-- BERNAMA-KYODO