KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terus memacu kecemerlangan apabila rangkaian industri serta penglibatan lebih 46,000 alumni kini menjadi antara pemacu utama kepada pertumbuhan pesat universiti itu.
Naib Canselornya Prof Datuk Dr Fadzli Adam berkata hubungan strategik dengan pelbagai rakan industri telah memberikan impak besar kepada penarafan akademik, kebolehpasaran graduan serta kekuatan ekosistem pendidikan universiti.
“Rakan industri adalah rakan strategik pembangunan negara manakala alumni membawa imej UniSZA ke seluruh dunia sebagai cerminan nilai dan budaya universiti,” katanya pada Malam Apresiasi Rakan Industri dan Alumni UniSZA (MARIA) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Beliau berkata dalam aspek penarafan global, UniSZA kini berada di kedudukan 1001-1200 dalam QS World University Rankings 2026 dan 486 dalam QS Asia University Rankings, selain terus mengekalkan Penarafan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (SETARA) lima bintang.
Menurutnya, pencapaian itu adalah hasil komitmen seluruh warga universiti serta dukungan kukuh rakan industri dan alumni dalam memperkukuh kualiti pengajaran, penyelidikan serta inovasi.
UniSZA turut memperluas jaringan kerjasama global dengan lebih 100 institusi pendidikan tinggi di Asia Barat, ASEAN, Asia Timur dan Eropah selain melancarkan Chapter Alumni Antarabangsa UniSZA di Lombok, Indonesia pada November lepas yang bakal diperluas ke Timur Tengah dan Afrika dalam usaha memantapkan pengaruh antarabangsa universiti.
Fadzli berkata UniSZA turut menggerakkan program seperti CEO@Fakulti serta Academia at Industry Engagement Programme (AIEP) yang memberi peluang kepada pelajar dan staf merasai pengalaman dunia pekerjaan sebenar.
Sementara itu, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee yang menjalankan fungsi Pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA berkata MARIA 2025 merupakan manifestasi kebersamaan antara industri, alumni dan universiti, sekali gus mencerminkan kekuatan hubungan yang dibina sejak institusi itu berstatus kolej.
Beliau yang juga alumni awal UniSZA menegaskan bahawa sokongan rakan industri dan alumni kekal menjadi tunjang kemajuan universiti.
Sirajuddin turut menekankan nilai sinergi melalui program CEO@Fakulti yang membawa tokoh korporat turun ke kampus untuk berkongsi pengalaman sebenar dunia pekerjaan, sesuatu yang disifatkannya sebagai ‘ilmu yang tidak tertulis dalam kitab’ tetapi sangat penting untuk pelajar dan pensyarah memahami realiti industri.
Pada majlis itu, UniSZA juga melancarkan Tabung Crowdfunding Rakan Industri dan Alumni Sempena MARIA 2025, yang dibuka untuk sumbangan bagi menyokong agenda pendidikan, kebajikan pelajar dan pembangunan universiti.
-- BERNAMA