Oleh Niam Seet Wei
KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Tempoh 2025 akan diingati sebagai “tahun tarif”, dengan pengenaan tarif oleh Amerika Syarikat (AS) yang mengejutkan pasaran di seluruh dunia, malah Malaysia tidak terkecuali.
Di peringat domestik pula, kerajaan terus memacu agenda cukai dengan memperluas cukai jualan dan perkhidmatan (SST) di samping memantapkan sistem e-Invois dengan melibatkan lebih banyak syarikat untuk meningkatkan hasil dan memperluas asas cukai.
Pada tahun ini, hasil cukai dijangka kekal sebagai penyumbang utama kepada jumlah hasil 2025 dengan 75.8 peratus, atau membentuk 12.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2026 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF).
Kutipan cukai langsung dijangka meningkat kepada RM177.1 bilion, terutama didorong oleh cukai pendapatan individu dan syarikat manakala kutipan cukai tidak langsung disokong oleh SST yang dijangka mencecah RM76.3 bilion bagi tahun ini.
Impak Tarif AS Terhadap Malaysia
Pada 2 April lepas, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menandatangani Perintah Eksekutif 14257, yang dianggap tarif “Liberation Day”, dengan mengenakan tarif asas sebanyak 10 peratus bagi kebanyakan barangan import, termasuk produk dari Malaysia.
Pihak berkuasa AS mendakwa Malaysia mengenakan tarif 47 peratus ke atas barangan AS justeru mendorong tindakan tarif balas pada kadar 24 peratus bagi kebanyakan eksport Malaysia ke negara itu pada 9 April, dengan beberapa pengecualian.
Malaysia bukan satu-satunya negara yang terkesan, malah juga melibatkan Jepun dan Brunei apabila masing-masing dikenakan tarif sebanyak 24 peratus manakala negara lain berdepan kadar lebih tinggi -- China pada 34 peratus, Vietnam (46 peratus), Kemboja (49 peratus) dan Indonesia (32 peratus).
Sebelum kadar tarif itu berkuat kuasa, kebanyakan negara termasuk Malaysia diberi “tempoh bertenang” selama 90 hari bermula 9 April oleh itu, hanya tarif asas 10 peratus dikenakan.
Pada 6 Mei, Malaysia melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) secara rasmi memulakan rundingan dengan AS untuk mengelakkan atau mengurangkan kesan daripada tarif yang tinggi.
Walaupun usaha itu dilakukan namun, pada 7 Julai, Trump mengumumkan tarif 25 peratus ke atas semua eksport Malaysia menerusi Truth Social tanpa sebarang penjelasan
Kadar tersebut lebih tinggi daripada angka 24 peratus yang dikenakan sebelum “tempoh bertenang”.
Selepas beberapa pusingan rundingan, perbincangan akhirnya dimuktamadkan secara rasmi pada 31 Julai, dengan AS bersetuju untuk mengurangkan tarif timbal balas ke atas eksport Malaysia, tertakluk kepada pemuktamadan perjanjian.
Pada 1 Ogos, AS menurunkan tarif timbal balas ke atas eksport Malaysia kepada 19 peratus daripada 25 peratus, dengan eksport semikonduktor dan farmaseutikal dikecualikan.
Pada 26 Okt, Malaysia dan AS menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang bersejarah semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur, yang mengecualikan 1,711 eksport Malaysia daripada tarif 19 peratus.
Menurut MITI, pengecualian tersebut meliputi barangan bernilai US$5.2 bilion (US$1=RM4.1275), atau kira-kira 12 peratus daripada eksport Malaysia ke AS pada 2024, termasuk barangan utama seperti produk minyak sawit dan berkaitannya, barangan getah, koko, komponen pesawat dan farmaseutikal.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri pada masa itu Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menegaskan dan mengulangi bahawa perjanjian itu tidak menjejaskan kedaulatan negara atau hak bumiputera.
Beliau menjelaskan sekiranya perjanjian ART tidak ditandatangani dengan segera, Malaysia berdepan dengan kemungkinan kerajaan AS menaikkan semula kadar tarif kepada kadar asal 24 peratus atau lebih tinggi.
Perluasan Skop SST
Bagi mengukuhkan kedudukan fiskal, Malaysia telah bertindak memperluas skop SST mulai 1 Julai, 2025 dengan kadar cukai lima peratus atau 10 peratus ke atas barangan bukan keperluan manakala barangan keperluan seperti beras, ayam, daging lembu, sayur-sayuran dan telur kekal dikecualikan.
Barangan terpilih seperti ketam raja, ikan salmon, kod, buah-buahan import, minyak pati dan fabrik sutera dikenakan cukai jualan lima peratus dan barangan premium seperti basikal lumba dan karya seni lukisan tangan antik dikenakan kadar 10 peratus.
Bagi cukai barang bernilai tinggi (HVGT), kerajaan pada 30 Julai lepas telah mengumumkan pembatalannya, namun prinsip-prinsip berkaitan diserapkan dalam semakan struktur cukai jualan dengan barangan mewah dan bukan perlu dikenakan cukai sebanyak lima atau 10 peratus.
Cukai ini pada asalnya diperkenalkan dalam Belanjawan 2023 sebagai cukai barangan mewah yang merangkumi barangan premium seperti barang kemas, jam tangan dan produk fesyen mewah, HVGT pada mulanya dijadual untuk dilaksanakan pada Mei 2024 dan dijangka menjana kira-kira RM700 juta setiap tahun.
Bagi cukai perkhidmatan, kerajaan telah memperluas skop berkaitan kepada sewaan atau pajakan (lapan peratus), pembinaan (enam peratus) perkhidmatan kewangan (lapan peratus), penjagaan kesihatan swasta (enam peratus) dan pendidikan (enam peratus).
Selain itu, bagi mengurangkan impak ke atas perniagaan kecil, kerajaan pada 27 Jun lepas telah mengumumkan kenaikan had nilai ambang pendaftaran bagi perkhidmatan pajakan atau sewaan serta perkhidmatan kewangan kepada RM1 juta daripada RM500,000.
Ini bermakna hanya perniagaan dengan jualan tahunan melebihi RM1 juta diwajibkan membayar cukai itu, sekali gus melegakan kalangan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Perkhidmatan kecantikan seperti rawatan kuku, rawatan wajah serta khidmat gunting rambut dan pendandan rambut yang pada awalnya tertakluk kepada cukai perkhidmatan sebanyak lapan peratus untuk penyedia yang meraih RM500,000 atau lebih, juga telah dikecualikan.
Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying memaklumkan Dewan Rakyat pada 24 November lepas bahawa kerajaan tidak berhasrat memperluas skop SST memandangkan kerangka cukai itu telah merangkumi langkah mitigasi yang disasarkan selain berciri progresif.
E-Invois
Sejak Malaysia memulakan fasa pelaksanaan e-Invois pada 1 Ogos 2024, yang pada awalnya meliputi syarikat dengan pendapatan atau jualan tahunan lebih RM100 juta, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah mencatatkan lebih 106,000 pembayar cukai berdaftar selain transaksi melebihi RM675 juta setakat 4 Nov, 2025.
Pada 1 Jan, 2025, fasa kedua dimulakan bagi syarikat yang mencatatkan pendapatan atau jualan tahunan lebih RM25 juta sehingga RM100 juta dan disusuli dengan fasa ketiga bagi pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM5 juta dan sehingga RM25 juta, bermula pada 1 Julai lepas.
Fasa keempat yang akan bermula pada 1 Jan, 2026, merangkumi pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM1 juta hingga RM5 juta manakala fasa kelima bermula 1 Julai, 2026 meliputi mereka dengan pendapatan atau jualan tahunan sehingga RM1 juta.
Pada awalnya, kerajaan berhasrat melaksanakan fasa kelima bermula 1 Julai, 2026 bagi perniagaan yang berpendapatan tahunan sehingga RM1 juta manakala berpendapatan kurang daripada RM500,000, akan dikecualikan.
Bagaimanapun, pada 6 Dis, 2025, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan had nilai ambang itu akan dinaikkan kepada RM1 juta daripada RM500,000, sekali gus bermakna syarikat dengan pendapatan tahunan kurang daripada RM1 juta tidak perlu mematuhi e-Invois bermula 2026.
Dalam pada itu, bermula 1 Jan, 2026, perniagaan yang mencatatkan transaksi melebihi RM10,000 serta penyedia perkhidmatan elektrik dan telekomunikasi, diwajibkan mengeluarkan e-Invois Individu dan bukan lagi e-Invois Disatukan.
Pada masa ini, sebanyak tujuh industri diwajibkan untuk mengeluarkan e-Invois individu: automotif (jualan kenderaan motor), penerbangan (tiket penerbangan dan sewaan pesawat persendirian), produk emas dan barangan mewah, pembinaan, borong dan runcit bahan binaan, aktiviti pertaruhan dan perjudian berlesen serta pembayaran kepada ejen atau pengedar.
Bagi prospek masa depan, jumlah kutipan cukai bagi 2026 dijangka meningkat dengan cukai langsung dianggarkan RM187.4 bilion manakala cukai tidak langsung berjumlah RM83 bilion, disokong oleh pendekatan bersasar serta permintaan domestik yang berterusan.
-- BERNAMA