JOHOR BAHRU, 2 April (Bernama) -- Polis Johor berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dengan rampasan bernilai RM1.24 juta serta sitaan keseluruhan berjumlah RM1.3 juta menerusi dua serbuan berasingan di sekitar Seri Alam dan Johor Bahru pada 30 hingga 31 Mac lepas.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman berkata dalam operasi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor itu, tujuh individu ditahan terdiri daripada lima warga tempatan termasuk seorang wanita, seorang lelaki warga Singapura dan seorang wanita warga Vietnam, berusia 31 hingga 60 tahun.
Beliau berkata dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Taman Megah Ria, Seri Alam, empat individu warga tempatan termasuk seorang wanita serta seorang lelaki Singapura ditahan manakala pelbagai jenis dadah seperti serbuk MDMA seberat 7.8 kilogram (kg) bernilai RM1.17 juta turut dirampas.
“Turut dirampas ialah cecair MDMA sebanyak 2.4 liter (RM1,400), serbuk ekstasi seberat 1,098 gram (g) (RM13,200), 80 biji pil Erimin 5 seberat 22 g (RM1,600), dua peket syabu seberat 26 g (RM1,300) serta pelbagai peralatan pembungkusan semula dadah,” katanya dalam sidang media di IPK di sini hari ini.
Beliau berkata serbuan kedua di sebuah rumah kedai di Taman Sri Tebrau pula membawa kepada penahanan dua lagi suspek iaitu seorang wanita warga Vietnam dan seorang lelaki tempatan.
“Dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk MDMA (69 g), 212 pil ekstasi (65.08 gram), ketamin, empat paket syabu (100 g), dua paket heroin (174 g) serta cecair ketamin (104.00 mililiter) dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan seberat 9.74 kg dan 2.4 liter,” katanya.
Selain itu, beliau berkata polis turut menyita pelbagai aset termasuk dua buah kereta, sebuah motosikal dan wang tunai dengan nilai keseluruhan RM58,553.21, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan dianggarkan RM1.30 juta.
Menurut beliau, modus operandi sindiket berkenaan dipercayai berkonsepkan gated and guarded sebagai lokasi penyimpanan serta pembungkusan semula dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan, dengan kebanyakan adalah pelanggan tetap di pusat-pusat hiburan.
Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek kedua warga tempatan berumur 38 tahun berperanan sebagai koordinator yang mengatur aktiviti pengedaran, manakala suspek lain bertindak sebagai pembekal dan ahli sindiket berperanan sebagai pembungkus serta mencari pelanggan.
“Jumlah dadah dirampas dianggarkan mampu digunakan oleh 33,537 penagih dan ujian saringan awal air kencing mendapati enam suspek positif methamphetamine manakala seorang lagi positif benzodiazepine.
“Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 31 Mac hingga 6 April bagi membantu siasatan,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA