KLANG, 6 April (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) hari ini melancarkan Ops Hazard 3.0 dengan tumpuan membanteras premis haram dan pengurusan e-sisa di seluruh negara.
Timbalan Pengarah JKDNKA Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Aman Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi berkata setakat pukul 6 petang tadi, lebih 110 premis telah diserbu di seluruh negara termasuk kilang e-sisa, barang lusuh dan premis haram.
“Rampasan setakat ini termasuk 316 tan e-sisa (RM23.68 juta), 388 tan barang lusuh (RM2.53 juta) dan 9 tan lain-lain barangan (RM29.01 juta) dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM55.23 juta tidak termasuk kompuan bernilai RM82,450 oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) terhadap premis yang menyalahi undang-undang.
“Operasi sama juga telah membawa kepada penahanan 205 individu termasuk 39 warganegara, 66 warga asing sah dan 100 warga asing tidak sah,” katanya dalam sidang media selepas menyertai serbuan di sebuah kilang di Central Industrial Park, di sini hari ini.
Mohamad Suzrin berkata data terkini juga menunjukkan sebanyak 729 individu telah diperiksa termasuk 154 warganegara dan 575 bukan warganegara, manakala 14 kilang haram sedang dalam siasatan lanjut.
Dalam masa sama, beliau mendedahkan serbuan pada hari ini antaranya memberi tumpuan di Lembah Klang selepas risikan mendapati kawasan itu menempatkan banyak premis memproses e-sisa, sejajar dengan maklumat daripada penduduk di kawasan sekitar.
“Operasi ini membabitkan 1,611 anggota campuran daripada PGA, Unit Marin PDRM, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Unit Wira Cabang Bersenjata (WCB) dan semua briged JKDNKA, selain penyertaan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan PBT.
“Selain itu, operasi turut disertai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan agensi lain, manakala LHDN kini meneliti 24 syarikat berhubung isu cukai pendapatan hasil operasi ini,” katanya.
Mohamad Suzrin berkata Ops Hazard 3.0 bermula pada pukul 7 pagi dan dijangka berterusan sepanjang hari, dengan serbuan menumpukan pengumpulan maklumat terperinci mengenai premis, rampasan dan nilai keseluruhan.
Terdahulu, beliau menyertai sebuah di sebuah kilang memproses e-sisa kepada jongkong aluminium yang disyaki akan dieksport ke negara ketiga seperti China.
“Untuk serbuan di sini, JAS memimpin sitaan barangan manakala PDRM memperkukuhkan siasatan termasuk rampasan produk akhir berdasarkan pengalaman operasi terdahulu.
“Perincian lengkap operasi termasuk jumlah anggaran premis diserbu, rampasan dan tangkapan akan diumumkan dalam sidang media Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail pada Jumaat ini,” katanya.
-- BERNAMA