KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Tawaran pengambilalihan Sunway Bhd ke atas IJM Corporation Bhd luput selepas gagal memenuhi syarat meraih lebih 50 peratus daripada saham undian, menurut Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB).
Menurut bank pelaburan itu dalam kenyataan hari ini, tawaran berkenaan ditutup pada 5 petang, Isnin, 6 April 2026.
“Tawaran itu telah luput dan tidak lagi boleh diterima, dan semua penerimaan akan dikembalikan kepada pemegang yang menerima tawaran itu. Selepas itu Sunway tidak lagi terikat dengan apa-apa penerimaan terdahulu terhadap tawaran itu,” katanya.
Sehingga 5 petang, Maybank IB berkata Sunway telah meraih penerimaan sah melalui tawaran itu, menjadikan syarikat itu memegang 1.17 bilion saham IJM, mewakili 33.43 peratus daripada jumlah saham undian dalam IJM.
Dalam kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan IJM Datuk Lee Chun Fai berkata dengan tamatnya tawaran pengambilalihan itu, kumpulan akan terus bergerak maju ke hadapan dengan penuh tekad.
Pada masa sama, IJM melaksanakan strategi yang dipertingkatkan bagi meningkatkan nilai portfolio dalam perniagaan teras, katanya.
“Pemegang saham kami telah membuat keputusan, dan kami menghormati kepercayaan mereka terhadap nilai intrinstik jangka panjang IJM,” katanya.
IJM turut mengakui minat daripada komuniti pelabur terhadap langkah ini dan berterima kasih kepada pemegang saham berikutan penglibatan yang berterusan serta penilaian teliti mereka terhadap tawaran itu.
Pada masa hadapan, kumpulan itu yakin dapat memenuhi keutamaan strategiknya yang meliputi nilai perolehan kontrak pembinaan, pembangunan hartanah dalam perancangan, portfolio konsesi infrastruktur dan pengembangan di luar negara yang berterusan.
Sementara itu, Sunway menyatakan penghargaan ikhlas kepada semua pihak berkepentingan dan rakan kongsi yang telah meluangkan masa untuk menilai tawaran tersebut serta pihak yang terus memberikan kepercayaan dan keyakinan kepada Sunway.
“Kami menghormati keputusan para pemegang saham IJM dan hasil daripada proses tersebut. Dalam mana-mana transaksi berskala besar seperti ini, perbezaan pandangan adalah sesuatu yang lazim, dan kami menyedari perbincangan awam yang menyeluruh mengenai tawaran ini.
“Sunway akan terus membina kekuatan kami, meneroka peluang dengan penuh disiplin, dan kekal komited untuk mencipta nilai jangka masa panjang bagi pihak berkepentingan kami, komuniti yang mendapat khidmat kami serta negara secara keseluruhan,” tambahnya.
-- BERNAMA