PUTRAJAYA, 22 Jun (Bernama) -- Seramai 10 penyelidik Malaysia dipilih menyertai Program Pertukaran Rakyat ke Rakyat Malaysia-China dalam Sains dan Teknologi 2025, yang akan menempatkan mereka selama enam bulan di institusi penyelidikan, universiti dan syarikat terpilih di China.
Kementerian, Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam satu kenyataan memaklum program itu bertujuan untuk memperkukuh diplomasi sains, memperluas jaringan penyelidikan dua hala serta membina keupayaan negara dalam bidang teknologi strategik.
Menurut MOSTI, program menerusi Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Malaysia Science Endowment (MSE) itu merupakan susulan kepada pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Program Pertukaran Kepakaran dalam Sains dan Teknologi antara Malaysia-China pada 19 Jun 2024, sempena lawatan rasmi Perdana Menteri China Li Qiang ke Malaysia.
"Program ini turut menyokong usaha kedua-dua negara untuk memperkukuh kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan, pemindahan teknologi, pertukaran kepakaran serta pembangunan bidang teknologi baharu," menurut kenyataan itu.
Pengumuman mengenai penyertaan peserta itu dibuat sempena Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Malaysia-China Mengenai Kerjasama Sains, Teknologi dan Inovasi kali keempat antara Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang dan Timbalan Menteri Sains dan Teknologi China Lin Xin, di sini, hari ini.
Turut hadir Naib Presiden ASM Prof Datuk Dr Looi Lai Meng dan Setiausaha Agung ASM Noorsaadah Abd Rahman.
Dalam kenyataan sama, Chang berkata program yang dijayakan menerusi dana MSE itu melambangkan suatu pelaburan strategik yang melangkaui skop pertukaran penyelidik biasa.
Katanya, program MSE bukan sahaja memacu inovasi industri dan memperkukuh kerjasama antarabangsa malah dapat memangkin pembangunan kapasiti.
"Langkah ini membuka peluang kepada akses kepakaran dan fasiliti bertaraf dunia serta mempercepat pembangunan penyelesaian dalam bidang yang penting kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat," katanya.
Sementara itu, Presiden ASM dan Penasihat Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) kepada Perdana Menteri dan Negara Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen berkata sebagai agensi pelaksana MSE, ASM melihat program itu sebagai pelaburan dalam pembangunan bakat, rangkaian dan keupayaan negara.
"Penyelidik yang terpilih bukan sahaja membawa nama Malaysia tetapi akan kembali dengan pengetahuan, hubungan strategik dan potensi kerjasama baharu yang boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh ekosistem Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) negara," katanya.
Penyelidik yang terpilih telah dinilai oleh Jawatankuasa Penilaian Projek ASM yang dipengerusikan oleh Looi, dengan bidang tumpuan program merangkumi bahan termaju, kecerdasan buatan (AI), penyimpanan tenaga, vaksin manusia, teknologi angkasa, blok rantai dan mikroelektronik.
Peserta juga dikehendaki menyediakan laporan dan video impak pada akhir program, selain berkongsi pengetahuan melalui bimbingan atau sesi perkongsian di institusi masing-masing, bagi memastikan manfaat program dapat diperluas kepada komuniti penyelidikan tempatan.
-- BERNAMA