KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Lebih 2,800 pelajar telah menamatkan pengajian menerusi program Peneraju Tunas Geliga dan Peneraju Tunas Potensi di bawah Yayasan Peneraju (YP) yang menyokong belia bumiputera pada pelbagai peringkat perjalanan pendidikan mereka.
Menurut kenyataan hari ini, YP memaklumkan kajian impak 2025 menunjukkan 93.8 peratus siswazah Tunas Potensi yang terlibat dalam kaji selidik berjaya mendapat pekerjaan, manakala 23.4 peratus lagi melanjutkan pelajaran dalam peringkat sarjana atau doktor falsafah (PhD).
"Dalam kalangan alumni Tunas Geliga yang ditinjau, 82 peratus melanjutkan pengajian ke peringkat diploma atau ijazah, mencerminkan sumbangan program ini dalam memperluas peluang pendidikan dan memperkukuh mobiliti sosial dalam kalangan belia bumiputera," menurut kenyataan itu.
YP memaklumkan Peneraju Tunas Geliga memberikan tumpuan kepada pelajar sekolah menengah dengan membuka peluang memasuki sekolah berasrama penuh selain menyediakan kem dan peluang pembangunan holistik yang direka untuk membina keyakinan, kemahiran kepimpinan serta aspirasi yang melangkaui persekitaran semasa mereka.
"Daripada 1,415 pelajar yang menyertai program ini, sebanyak 1,286 orang berjaya menamatkan pelajaran mereka," menurut kenyataan itu.
Peneraju Tunas Potensi pula, menurut YP, menyokong belia bumiputera melanjutkan pengajian tinggi mereka di institusi tempatan dan antarabangsa, dengan 1,538 daripada 1,638 peserta telah menamatkan pengajian.
Antara kisah kejayaan yang ditonjolkan ialah Johanes Dedi Kanchau dari Engkilili, Sarawak, yang bapanya menjual dua ekor kura-kura yang dijumpai di tepi sungai untuk menampung kos pengangkutan bagi menghadiri sesi temu duga program Peneraju Tunas Potensi di Kuching.
"Perjalanan ke sesi temu duga itu amat bermakna bagi saya kerana melibatkan pengorbanan besar daripada keluarga. Diterima menyertai program ini memberikan motivasi kepada saya untuk bekerja lebih keras dan memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan kepada saya," kata Johanes yang kini mengikuti pengajian PhD dalam bidang perubatan (Kardiologi) di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Seorang lagi alumni, Nazrul Adrian Abdullah dari Terengganu, menggunakan platform Peneraju Tunas Potensi untuk melanjutkan pengajian Sarjana Farmasi di University College London (UCL) dan kini berkhidmat sebagai ketua ahli farmasi di London.
"Program ini memberikan sokongan dan dorongan untuk saya mengejar peluang yang sebelum ini dianggap di luar jangkauan. Hal ini membuktikan bahawa dengan asas yang kukuh, bakat bumiputera mampu berkembang, bersaing dan berjaya pada peringkat antarabangsa," katanya.
Nazrul Adrian merupakan sebahagian daripada pasukan yang menerima UCL Vice Provost Education Award pada 2022 dan Pearson Education Award, selain menyumbang sebagai penulis artikel yang diterbitkan dalam Journal of Chemical Education di Amerika Syarikat.
Dalam pada itu, Enggelia Machop dari Sungai Rajang, Kapit, Sarawak, yang dibesarkan oleh ibu tunggal, berjaya mengatasi keraguan diri selepas mengikuti modul pembangunan keyakinan diri secara berstruktur di kem Peneraju Tunas Geliga.
"Pada masa itu, saya tidak begitu menyedari betapa peluang ini akan mengubah hidup saya. Apabila diingat kembali, penyertaan dalam program ini memberi saya keyakinan untuk terus mara dan percaya bahawa saya mampu membina masa depan yang lebih baik melalui pendidikan," kata Enggelia yang baru menamatkan pengajian dengan memperoleh Kepujian Kelas Pertama daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YP Ibrahim Sani berkata sejak ditubuhkan pada 2011, yayasan berkenaan telah memberikan manfaat kepada lebih 93,000 individu di seluruh negara menerusi pelbagai inisiatif pembangunan bakat.
Beliau berkata walaupun program seperti Peneraju Tunas telah berakhir, komitmen yayasan itu untuk memperkukuh daya saing bumiputera tidak berubah.
"Melangkah ke hadapan, YP akan terus memperkukuh penyertaan bumiputera dalam bidang profesional dan teknologi bernilai tinggi yang semakin penting kepada ekonomi masa depan negara," katanya.
Selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI, PuTERA35 dan Rancangan Malaysia Ke-13, Ibrahim berkata YP kekal memberikan tumpuan kepada pembangunan lebih ramai bakat bumiputera untuk kerjaya berkemahiran tinggi, sambil menyokong matlamat jangka panjang untuk melahirkan 10,000 pencipta nilai dan mencapai 100,000 bakat menjelang 2030.
Untuk maklumat lanjut berhubung skim pembiayaan YP, pensijilan profesional dan program teknologi, orang ramai boleh melayari laman web peneraju.org.
-- BERNAMA