AM > BERITA

SABAH TERIMA LEBIH SEJUTA PELANCONG, RM2.23 BILION PERBELANJAAN DALAM TEMPOH EMPAT BULAN

29/06/2024 06:07 PM

TAWAU, 29 Jun (Bernama) -- Sabah mencatatkan kehadiran lebih sejuta pelancong dengan anggaran perbelanjaan pelancongan berjumlah RM2.23 bilion bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata statistik Lembaga Pelancongan Sabah menunjukkan 396,584 pelancong antarabangsa dan 607,371 pelancong domestik berkunjung ke negeri itu dalam tempoh tersebut.

"Pelbagai projek pelancongan sedang dirangka di Sabah, usaha ini diambil bagi memperbanyakkan lagi produk pelancongan yang boleh diketengahkan kepada pengunjung termasuk berkaitan kebudayaan.

"Sudah pasti dengan adanya tarikan-tarikan pelancongan baharu ini akan membantu mencapai sasaran tiga juta pelancong ke Sabah pada tahun ini," katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah Pusat Kebudayaan Antarabangsa Tawau (TICC) di Sabindo di sini hari ini.

Beliau berkata di Tawau, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) bercadang melaksanakan projek seperti membangunkan tempat peranginan baharu di Tawau Hills Park yang merangkumi  chalet, laluan pejalan kaki, kolam air panas dan Pusat Penyelidikan Tenggiling.

Selain itu Hajiji berkata kerajaan melalui KePKAS juga akan menaik taraf kemudahan seperti jeti Tawau untuk membawa masuk pelancong dari Semporna. 

Beliau berkata Tawau yang juga pintu masuk pengunjung ke Taman Laut Tun Sakaran di Semporna, merekodkan 25,684 pelawat bagi tempoh Januari hingga April lepas.

“Sehingga kini, terdapat 115 kekerapan penerbangan mingguan dengan 20,200 kapasiti tempat duduk menghubungkan Tawau ke Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Sandakan manakala setakat 15 Jun lalu, 32 penerbangan sewa khas dari Nanjing dan Guangzhou, China ke Tawau,” katanya.

Dalam pada itu Hajiji berkata pembinaan TICC sebagai mercu tanda baharu di Tawau akan menjadi tarikan pelancong ke daerah itu.

Beliau berkata pembinaan dua blok bangunan satu tingkat itu akan dilengkapi pelbagai kemudahan antaranya dewan konvensyen, bilik seminar dan mini teater.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan