AM > BERITA

ANGGOTA BERTUGAS DI LAPANGAN GUNA KAMERA BADAN ELAK PELANGGARAN SOP - APMM

24/07/2024 12:35 PM

PUTRAJAYA, 24 Julai (Bernama) -- Anggota penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang bertugas di lapangan akan memakai kamera badan bagi memastikan tiada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

Pemangku Ketua Pengarah APMM Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata langkah berkenaan adalah satu daripada usaha bagi memastikan penguat kuasa APMM melaksanakan tugas dengan penuh integriti khususnya ketika menjalankan operasi di perairan negara.

Beliau berkata APMM giat melaksanakan inisiatif di bawah Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) selain turut dalam pelaksanaan ke arah pensijilan MS ISO 37001 Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS).

“Sebagai permulaan, (penggunaan kamera badan) digunakan penguat kuasa APMM yang mengiringi wang milik Bank Simpanan Nasional (BSN) ke Pulau Tioman sebelum pelaksanaannya diperluaskan setelah proses perolehan diluluskan kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menekankan agar jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) melaksanakan penerapan integriti kepada seluruh warga jabatan masing-masing.

Saiful Lizan memaklumkan APMM telah menggunakan Unit Pengawasan Bergerak (MSU) yang berfungsi sebagai radar bergerak untuk mengesan aktiviti mencurigakan di perairan negara sekali gus menjadi aset pelengkap pengawasan pantai kepada Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) sedia ada.

“APMM turut mengoperasikan sistem Cospas Sarsat sejak 2015 melalui Pusat Kawalan Misi Malaysia (MYMCC) yang mampu menerima isyarat kecemasan dari pelbagai jenis suar,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan