AM > BERITA

JANE TEOH LANCAR KEMPEN ANTIBULI SIBER #DARETOSHOUT

24/07/2024 01:27 PM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Miss Universe Malaysia 2018 Jane Teoh hari ini melancarkan Kempen Antibuli Siber #DareToShout bagi meningkatkan kesedaran mengenai jenayah itu dalam kalangan masyarakat.

Personaliti media sosial berusia 27 tahun itu berkata kempen tersebut dianjurkan hasil inisiatif beliau sendiri sebagai pempengaruh media sosial, agar orang ramai menggunakan internet dengan baik.

"Objektif kempen ini adalah mempromosi antibuli siber, isu sama yang telah saya bawa semasa menyertai Miss Universe Malaysia 2018, jadi saya mahu meneruskan inisiatif ini.

"Ia sangat relevan dengan pelajar hari ini kerana media sosial merupakan sebahagian gaya hidup, jadi mereka perlu tahu tanggungjawab sebagai pengguna," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah mengenai antibuli siber, pemerkasaan belia dan wanita, kepada lebih 200 pelajar Sekolah Menengah Stella Maris di sini hari ini.

Beliau berkata kempen itu akan diteruskan di sekolah-sekolah serta universiti, dan beliau mengalu-alukan pembabitan mana-mana pihak termasuk organisasi yang ingin bekerjasama pada masa akan datang.

Jane turut berhasrat mengajak pempengaruh media sosial lain untuk berkempen, sekali gus menghapuskan jenayah buli siber.

"Saya telah menjemput rakan-rakan untuk bersama-sama menjalankan kempen ini dan merancang untuk melibatkan lebih ramai pempengaruh seperti TikTokers dan Youtuber yang popular dalam kalangan kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata pelajar sekolah perlu mendapat bimbingan dan pendedahan berkaitan tindakan yang salah ketika menggunakan media sosial agar dapat mengelakkan perkara itu daripada berleluasa.

Beliau turut mencadangkan agar pengetahuan mengenai kesan buruk jenayah buli siber dimasukkan dalam silibus pembelajaran bagi memupuk kesedaran, sejak di bangku sekolah lagi.

Jumaat lepas Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menangani isu buli siber di negara ini. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dilaporkan meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta polis mengambil tindakan tegas terhadap kes membabitkan buli siber.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan