AM > BERITA

KMJG 2024 TERUSKAN JELAJAH DI MELAKA, TEMPUH JARAK 122.5 KILOMETER

24/07/2024 02:35 PM

ALOR GAJAH, 24 Julai (Bernama) -- Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 meneruskan jelajah di Melaka membabitkan jarak sejauh 122.5 kilometer dengan lima lokasi persinggahan bagi menyemarakkan lagi Sambutan Bulan Kebangsaan.

Pengarah Penerangan negeri Ab Rasil Hajatil berkata Melaka merupakan negeri persinggahan ketiga konvoi itu yang disertai lebih 100 kenderaan pelbagai jenis daripada jabatan dan agensi kerajaan termasuk 50 motosikal berkuasa tinggi Suzuki VStrom Owner Club Malaysia.

"Konvoi akan singgah ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Tanjung dengan pengisian aktiviti Ikrar Rukun Negara, pameran dan kuiz sempena kempen Jalur Gemilang bersama pelajar dan guru, seterusnya singgah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin untuk mengedar dan memasang bendera pada kenderaan pengguna jalan raya.

"Jelajah di negeri ini akan berakhir di Pusat Rekreasi Chohong dengan pelbagai aktiviti menarik bersama Komuniti MADANI sebelum penyerahan Jalur Gemilang kepada Ketua Konvoi Johor di Dataran Tangkak," katanya kepada pemberita di Freeport A'Famosa Outlet di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyertai pelepasan peserta KMJG2024 peringkat Melaka yang disempurnakan Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Konvoi KMJG2024 sebelum ini menjelajah Selangor dan Negeri Sembilan dan akan meneruskan perjalanan ke Johor, Terengganu, Perak, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perlis sebelum berakhir di Kuala Lumpur pada 21 Ogos.

Pelepasan konvoi berkenaan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 di Cyberjaya, Ahad lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan