AM > BERITA

PASTIKAN OPERASI KILANG, PREMIS PATUHI KEPERLUAN PERUNDANGAN ALAM SEKITAR - NIK NAZMI

25/07/2024 04:15 PM

PUTRAJAYA, 25 Julai (Bernama) -- Pihak industri perlu memainkan peranan penting memastikan operasi kilang atau premis masing-masing memenuhi semua keperluan perundangan alam sekitar dan tidak akan menyebabkan pencemaran alam sekitar, kata Menteri Sumber Asli Dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata konsep pematuhan kendiri perlu dibudayakan dan setiap tindakan atau keputusan yang diambil hendaklah mengambil kira elemen alam sekitar.

Merujuk kepada insiden pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah dan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang, Sungai Selangor beberapa hari lepas, beliau berkata kerajaan memandang serius jenayah alam sekitar.

Nik Nazmi berkata keseriusan itu diterjemahkan melalui Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024 yang memperuntukkan hukuman penjara mandatori sehingga lima tahun dan denda maksimum sehingga RM10 juta jika disabitkan dengan kesalahan mencemar sungai.

Beliau berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengeluarkan arahan serta-merta kepada pengusaha premis terlibat untuk menjalankan kerja pembersihan dalam premis, kawasan longkang dan anak sungai yang terkesan, dan kini kerja-kerja tersebut telah selesai dijalankan.

“Sebanyak tiga sampel bahan bukti turut diambil dan sudah dikemukakan ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk ujian penentuan komposisi dan pemadanan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena lawatan mengejut beliau ke kawasan perindustrian berkenaan hari ini,

Semalam Ketua Pengarah Alam Sekitar Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata dua individu ditahan bagi membantu siasatan dalam kes pencemaran bau itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan