AM > BERITA

Balai Seni Negara Laksana Inisiatif Desentralisasi, Rayakan Seni Bersama Komuniti

28/08/2024 10:25 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Balai Seni Negara kini melangkah ke arah pelaksanaan inisiatif desentralisasi bertujuan merayakan seni bersama komuniti tempatan dan membentuk masyarakat yang kreatif serta produktif.

Dalam kenyataan hari ini Balai Seni Negara memaklumkan langkah itu selaras dengan tujuh teras utama yang digariskan dalam Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021.

“Sejak penubuhannya pada 1958, Balai Seni Negara telah menjadi pusat utama seni visual di Malaysia yang memainkan peranan penting dalam menghimpunkan, mempamerkan, mempromosikan serta memelihara dan memulihara hasil seni.

“Sebagai sebuah institusi yang berperanan dalam memperkasakan seni visual negara, Balai Seni Negara terus komited dalam memberikan yang terbaik kepada pengunjung selain turut menyediakan pelbagai platform buat seniman tempatan,” menurut kenyataan itu sempena sambutan Ulang Tahun Penubuhan Balai Seni Negara ke-66 hari ini.

Sepanjang lebih enam dekad penubuhannya, pelbagai pencapaian diraih Balai Seni Negara dengan hasil sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta penggiat seni tempatan.

Menurut kenyataan itu sehingga kini Balai Seni Negara telah memperoleh kira-kira lebih 5,000 koleksi seni visual negara.

“Sebagai institusi yang bertanggungjawab dalam memelihara dan memulihara hasil seni, kejayaan Balai Seni Negara dapat dilihat dengan penubuhan Pusat Repositori dan Konservasi Seni Negara yang juga dikenali sebagai ‘Art Hospital’.

“Pusat ini berperanan memantapkan lagi tanggungjawab sedia ada dalam mengurus koleksi dan konservasi seni serta menawarkan khidmat nasihat, restorasi dan storan koleksi seni kepada orang awam,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, komitmen Balai Seni Negara dalam menyemarakkan seni dapat dilihat dengan penubuhan cawangan Balai Seni Negara di Langkawi, Kedah yang membuka lebih banyak peluang kepada penggiat seni tempatan untuk berkarya serta menawarkan khidmat nasihat.

Menurut Balai Seni Negara usaha itu akan diteruskan dengan penubuhan Balai Seni Negara di Ipoh, Perak yang dijangka mula beroperasi pada tahun hadapan sebagai antara strategi dalam merancakkan aktiviti seni sekali gus meningkatkan kedatangan pelancong ke negeri itu.

“Sambutan ulang tahun ke-66 ini menjadi satu peluang meraikan pencapaian dan mengukuhkan tekad untuk terus melangkah memajukan ekosistem seni negara.

“Balai Seni Negara ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pengunjung, penggiat seni dan rakan kerjasama yang sentiasa memberi sokongan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan