AM > BERITA

Kuala Lumpur Selamat, Berhati-hati Di Sekitar Jalan Masjid India - Dr Zaliha

28/08/2024 10:37 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa memberi jaminan bahawa Kuala Lumpur masih selamat kepada orang ramai.

Mengulas mengenai kebimbangan sesetengah pihak susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India Jumaat lepas, beliau bagaimanapun mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika berada di kawasan insiden tanah jerlus itu.

“Macam saya cakap sebelum ini, kita perlu lebih berhati-hati di kawasan Masjid India. Kawasan itu, PDRM pun ambil langkah untuk jaga dan kita tak benarkan orang awam masuk tapi kawasan lain (di Kuala Lumpur) setakat ini masih selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat lokasi mendapan tanah di Jalan Pantai Permai di sini hari ini, yang turut dihadiri Ahli Parlimen Lembah Pantai merangkap Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil. 

Mengenai kejadian mendapan tanah di Jalan Pantai Permai, Dr Zaliha berkata DBKL bersama agensi berkaitan akan mengambil tindakan segera untuk memastikan sistem saliran air yang rosak akibat mendapan dapat dibaiki secepat mungkin.

“Kita menjangkakan dapat selesaikan perkara ini dalam tiga minggu tapi yang paling penting adalah penduduk di sekitar perlu menjaga keselamatan diri supaya tidak berlaku kejadian yang tidak diingini," katanya.

Dr Zaliha dalam pada itu berkata ujian ketahanan terhadap pembetung sedia ada di sekitar Kuala Lumpur yang usang dan sudah berusia lebih 30 tahun perlu dilakukan.

“Untuk perkara ini, kita akan bekerjasama dengan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Indah Water Konsortium serta agensi lain yang berkaitan,” katanya.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan