AM > BERITA

Operasi Salvaj KD Pendekar: Isteri Penyelam TLDM Minta Orang Ramai Tidak Buat Spekulasi

29/08/2024 10:51 AM

JOHOR BAHRU, 29 Ogos (Bernama) -- Orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden kematian Allahyarham Laskar Kelas (LK) I PLM Arman San Hermansa, yang meninggal dunia dalam operasi salvaj KD Pendekar di perairan Tanjung Penyusop semalam.

Isteri Allahyarham menerusi hantaran di Facebook menggunakan nama akaun ‘Hanaa Ariana’ berkata  ini kerana kejadian itu masih dalam siasatan pihak berwajib.

“Saya sebagai isteri arwah, meminta jangan ada pihak yang membuat sebarang andaian terhadap insiden yang berlaku kepada arwah suami saya. 

“Justeru, insiden ini juga masih dalam siasatan, biarlah hanya pihak atasan dan juga kru yang bertugas pada masa itu yang mengetahui punca insiden dan sebagainya,” katanya.

Sehubungan itu beliau berharap tidak ada pihak yang mengeluarkan spekulasi tidak benar dan tidak sahih mengenai insiden tersebut dan memahami keadaan yang dihadapinya ketika ini.

TLDM dalam kenyataan semalam memaklumkan jenazah Allahyarham Arman San yang berkhidmat sebagai Penyelam Ranjau pasukan itu dari Markas Selam dan Peperangan Periuk Api (MSPPA), berada di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk proses bedah siasat dan akan dibawa ke Lahad Datu, Sabah untuk pengebumian.

KD Pendekar tenggelam semasa pelayaran operasi di perairan Tanjung Penyusop selepas mengalami kebocoran dipecayai akibat terlanggar objek bawah air pada 25 Ogos.

Bagaimanapun, usaha pantas komuniti maritim berjaya menyelamatkan kesemua 39 kru KD Pendekar sebelum kapal itu ditenggelami air sepenuhnya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan