AM > BERITA

Kebangsaan: Pemain Jidur Tidak Cemas Walau Pengalaman Kali Pertama

29/08/2024 12:52 PM

Oleh Norhayati Mohd Akhir

PUTRAJAYA, 29 Ogos (Bernama) -- Menerima cabaran sebagai peluang merasai pengalaman baharu, menjadi pembakar semangat kepada Nur Izznayli Mirza Norazman untuk memastikan tidak cemas ketika membuat persembahan di hadapan tetamu kehormat dan pengunjung pada sambutan Hari Kebangsaan 2024 Sabtu ini.

Berkongsi pengalaman kali pertama menyertai acara perarakan dan perbarisan bersama 19 rakan dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), anak kelahiran Kuala Lumpur berusia 19 tahun itu berkata perasaan cemas terpaksa diketepikan demi memastikan paluan jidur (gendang) sentiasa mengikut rentak muzik.

“Saya terima peluang ini sebab tahun lepas walau dah terlibat (persembahan Hari Kebangsaan) tapi buat persembahan atas pentas. Tahun ini dalam perbarisan.

“Perasaan cemas ada sebab ini kali pertama saya buat persembahan sambil berjalan. Agak susah pada awalnya sebab nak jaga tempo. Tapi lama-lama dah ok,” kongsinya kepada Bernama mengenai pengalaman pertamanya itu.

Nur Izznayli Mirza seorang daripada peserta Kontinjen Komuniti Malaysia MADANI yang menganggotai kumpulan Jidur dan Tetuang Seni Warisan pimpinan Pensyarah Fakulti Muzik Aswara, Shamsul Kamal Abd Rahman.

Pelajar jurusan Seni Muzik Tradisional Gamelan Aswara itu berkata latihan secara berterusan dan tunjuk ajar daripada Shamsul Kamal atau lebih dikenali sebagai Cikgu Achun turut menjadi resepi baginya untuk menangkis perasaan cemas.

“Saya harap Sabtu ini kami dapat lakukan yang terbaik sebab persembahan kami ini boleh dikatakan acara permulaan,” katanya yang mula berjinak bermain jidur ketika berusia 14 tahun.

Sementara itu, Cikgu Achun berkata kumpulan berkenaan akan memainkan dua instrumen muzik iaitu jidur dan tetuang (alat tiupan diperbuat daripada tanduk kerbau) memainkan irama rentak silat.

“Kumpulan kami ini bergerak bersama kumpulan lain yang terdiri pelbagai kaum yang berpakaian mengikut bangsa dan memainkan muzik menggunakan pelbagai instrumen bagi melambangkan kepelbagaian bangsa di Malaysia,” katanya yang telah 14 tahun menjadi tenaga pengajar di Aswara.

Senada dengan anak didiknya, Nur Izznayli Mirza, Cikgu Achun berkata pengalaman baharu itu bukan halangan untuk membuat persembahan terbaik.

“Hari Kebangsaan tahun lepas, saya tampilkan gendang berpusing dikenali 'Achun Spinning Drum’ ketika persembahan statik di hadapan pentas utama. Tapi tahun ni kami pilih dua alat tradisional untuk kembalikan nostalgia dahulu kala,” katanya yang mempunyai kepakaran hampir 30 tahun dalam bidang muzik terutama dram dan percussion.

Bagi memastikan tiupan tetuang menghasilkan bunyi yang sempurna, Cikgu Achun berkata beliau memastikan teknik getaran bibir sentiasa diutamakan selain menjaga pernafasan ketika berjalan hampir tiga kilometer.

“Kalau berdiri atau duduk setempat memang senang untuk tiup tetuang tapi bila berjalan agak sukar. Apapun saya pastikan juga muncung tetuang sentiasa berada di bibir dan tidak bergoyang. Kalau goyang, kita tiup bukan keluar bunyi tapi angin,” katanya.

Persembahan Kontinjen Komuniti Malaysia MADANI yang diselaraskan Kementerian Perpaduan Negara itu mencatatkan sejarah apabila julung kali menampilkan kontinjen terpanjang yang mengenakan pakaian etnik lengkap beraksesori tradisional sebagai simbolik kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia.

Keunikan kontinjen itu ditonjolkan melalui gabungan persembahan pelbagai instrumen muzik mewakili pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina, India, Sikh, Orang Asli, Siam, etnik Chetti, Baba dan Nyoya serta Sabah dan Sarawak.

Dataran Putrajaya yang dipilih buat kali kedua berturut-turut di bawah pemerintahan Kerajaan Perpaduan untuk menjadi lokasi sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos nanti turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan lain yang dijayakan oleh 17,262 peserta, 67 kontinjen, 36 pasukan pancaragam, 534 aset Angkatan Tentera Darat dan Tentera Udara Diraja Malaysia serta 100 haiwan dalam perkhidmatan.

‘Malaysia MADANI : Jiwa Merdeka’ dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan