DUNIA > BERITA

WTO TELITI DASAR PERDAGANGAN CHINA

18/07/2024 01:58 PM

GENEVA, 18 Julai (Bernama-CMG) -- Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) memulakan kajian semula kali kesembilan terhadap dasar perdagangan China di Geneva, Switzerland pada Rabu.

Naib Menteri Perdagangan China Li Fei dalam sesi berkenaan menyatakan China komited memperkasa keterbukaan bertaraf tinggi, mengurangkan lagi tarif import, meningkatkan tahap kemudahan perdagangan, memperluas keterbukaan sektor perkhidmatan dan melonggarkan akses pasaran untuk pelaburan asing.

China juga akan memantapkan pembaharuan melibatkan peringkat lebih mendalam, memainkan sepenuhnya peranan penentuan pasaran dalam peruntukan sumber sambil mendorong pembangunan inovatif, hijau, digital dan inklusif.

Beliau berkata China mengambil bahagian secara menyeluruh dalam rundingan pembaharuan WTO, menyokong pembangunan inklusif sistem perdagangan multilateral dan membantu anggota membangun mengintegrasikan diri dalam rantaian nilai global dengan lebih baik. 

Wakil anggota WTO yang menghadiri sesi kajian semula itu menyanjung tinggi sumbangan positif China untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi dunia dan menjaga sistem perdagangan multilateral serta usaha negara Tembok Besar dalam memperkasa pembaharuan domestik dan memperluas keterbukaan.

Mereka berkata China yang merupakan rakan dagang paling penting bagi banyak anggota WTO, terus memudahkan serta meningkatkan liberalisasi perdagangan dan pelaburan menerusi langkah seperti mengurangkan tarif, mengoptimumkan prosedur pelepasan kastam dan mengeluarkan senarai negatif.

Inisiatif China memacu transformasi ekonomi ke arah hijau melalui pemerkasaan inovasi teknologi serta sumbangannya kepada pembangunan rendah karbon dan usaha menangani perubahan iklim di peringkat global juga mendapat penghargaan daripada peserta sesi berkenaan.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan