DUNIA > BERITA

SELEBRITI SOKONG HARRIS SELEPAS BIDEN UNDUR DARIPADA PERLUMBAAN PRESIDEN

22/07/2024 09:04 PM

LONDON, 22 Julai (Bernama-PA Media/dpa) -- Barisan pelakon, penyanyi dan selebriti terkemuka telah tampil memberikan sokongan kepada Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) Kamala Harris selepas Presiden Joe Biden mengumumkan pengundurannya daripada perlumbaan presiden, lapor PA Media.

Biden menamatkan usaha untuk pemilihan semula pada Ahad di tengah-tengah tekanan yang semakin meningkat untuk berundur selepas debat pada 27 Jun dengan pesaingnya daripada  Republikan, Donald Trump.

Biden merancang untuk menghabiskan baki penggalnya, yang berakhir pada tengah hari 20 Januari 2025.

Beliau telah menawarkan "sokongan penuh" kepada Harris untuk menjadi calon Demokrat.

Pelakon “Star Trek” George Takei mengetuai gelombang respons selebriti terhadap pengumuman Biden, memanggil presiden sebagai "patriot" dan menggesa orang ramai untuk "bersatu di belakang Kamala Harris".

Beliau menulis di platform media sosial X: "Saya ingin memberi penghormatan kepada Presiden kita Joe Biden. Beliau telah berkhidmat kepada negara kita dengan cemerlang selama beberapa dekad, beliau seorang yang terhormat, presiden yang sangat berjaya, dan seorang patriot. Kini marilah kita bersatu di belakang Kamala Harris dan mengalahkan Donald Trump pada November!"

Pelakon “Freaky Friday” Jamie Lee Curtis berkata naib presiden itu "dipercayai dan teruji".

Dalam satu hantaran di Instagram, beliau berkata: "Saya menyokong sepenuhnya @joebiden dan keputusannya untuk berundur dan menyokong sepenuhnya @kamalaharris.

"Beliau dipercayai dan teruji dan beliau adalah seorang penyokong kuat untuk hak wanita serta pesanannya adalah satu harapan dan perpaduan untuk Amerika pada masa perpecahan nasional yang besar," katanya.

Penyanyi pemenang Anugerah Grammy John Legend menyiarkan kenyataan bersama kiriman di Instagram menyeru rakyat Amerika untuk "memilih Kamala Harris sebagai Presiden kita".

"Beliau bersedia untuk pertarungan ini dan saya teruja untuk membantunya dengan apa cara yang saya boleh," kata Legend.

Bintang “Abbott Elementary” Sheryl Lee Ralph, yang menghadiri pengumpulan dana selebriti untuk Biden beberapa minggu lepas, memuat naik gambar dirinya dan Harris, menulis: "Presiden Biden telah menyokong Kamala Harris!"

Penyanyi Katy Perry memberikan reaksi  terhadap pengumuman Biden dengan menyanyikan beberapa baris dari lagu terbaharunya “Woman's World”.

"Ia adalah dunia wanita, dan anda bernasib baik untuk hidup di dalamnya," katanya dalam video yang dimuat naik di Instagram.

Sementara itu, bintang “Hocus Pocus” Bette Midler memanggil Biden sebagai "patriot Amerika sejati", menulis di X: "Beliau telah menjadi Presiden yang hebat, dan ia menyakitkan bahawa keadaan yang unik dan bersejarah menyebabkan beliau terpaksa berundur. Beliau adalah ahli politik yang jarang ditemui, seorang yang terhormat yang hidup dengan nilai-nilainya."

Hos rancangan bual bicara AS dan pelawak Jon Stewart bertindak balas dengan kiriman satu perkataan ringkas di X sejurus selepas pengumuman presiden.

"Legenda," tulisnya.

Dalam hantaran di X, pelakon “Star Wars” Mark Hamill, 72, berkata: "Joe Biden mempunyai rekod pencapaian yang tiada tandingan oleh mana-mana presiden dalam kehidupan kita.

"Terima kasih atas perkhidmatan anda, Tuan Presiden. Kini menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat Amerika yang patriotik untuk memilih Demokrat yang akan menghormati dan meneruskan legasi anda," katanya.

Bintang “Funny Girl” Barbra Streisand, 82, berkata dalam hantaran di X: "Joe Biden akan diingati dalam sejarah sebagai seorang yang mencapai pencapaian penting dalam tempoh empat tahun pentadbirannya.

"Kita harus berterima kasih atas sokongan beliau terhadap demokrasi kita," katanya.

Bekas hos rancangan bual bicara Ellen DeGeneres berkata beliau "bersyukur kepada Presiden Biden atas segala yang telah dilakukannya" manakala pelawak Amy Schumer berkata beliau menyokong Harris  ."sepenuhnya".

Sementara itu, bintang pop Ariana Grande berkongsi hantaran Biden yang menyokong Harris sebagai calon baharu Parti Demokrat.

Penyanyi Cher menulis di X bahawa sudah tiba masanya untuk Demokrat berfikir "di luar kotak" .

Beliau menulis: “Dalam hati saya, saya terseksa, kerana saya tidak percaya Demokrat boleh memenangi jawatan Presiden dengan 'Pres Biden' 'Joe' yang saya sayangi sejak kami bertemu pada 2008. Saya berkempen untuknya. Saya percaya sudah tiba masanya untuk menyerahkan baton, masa untuk Demokrat berfikir 'jauh' di luar kotak.”

-- BERNAMA-PA Media/dpa

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan