DUNIA > BERITA

EKSPO CHINA-ASIA SELATAN KE-8 BUKA TIRAI DI KUNMING

24/07/2024 02:41 PM

KUNMING, 24 Julai (Bernama-CMG) -- Ekspo China-Asia Selatan Ke-8 yang membuka tirainya di bandar Kunming wilayah Yunnan pada Selasa telah menyaksikan penglibatan lebih 2,000 perusahaan dari 82 buah negara dan rantau serta pertubuhan antarabangsa, dengan sebahagian besarnya dari negara Asia Selatan dan Asia Tenggara.

Ekspo yang bertemakan "solidariti dan kolaborasi bagi pembangunan bersama" itu menumpukan kepada pameran industri yang berpotensi besar untuk kerjasama China dengan negara Asia Selatan dalam bidang ekonomi dan perdagangan, termasuk tenaga hijau, pertanian moden, perubatan serta penjagaan kesihatan, kebudayaan dan pelancongan.

Terdapat sebanyak 15 pavilion yang tersedia dalam ekspo itu, termasuk sembilan untuk pengunjung profesional yang merangkumi teknologi pembinaan, pembuatan, tenaga hijau, pertanian moden dan produk mercu tanda geografi.

Sementara itu, pavilion industri kopi yang dibuka untuk julung kalinya dalam sejarah Ekspo telah menyaksikan penglibatan lebih 160 buah perusahaan.

Selain itu, terdapat lagi dua pavilion khas untuk pempamer dari Asia Selatan yang dilengkapi gerai pameran sebanyak 800 unit, dan zon pameran khas untuk Pakistan yang hadir sebagai tetamu kehormat.

Untuk rekod, perdagangan antara China dengan negara Asia Selatan mencecah hampir US$200 bilion (RM935 bilion) pada 2023, meningkat sekali ganda berbanding 2013.

--BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan