DUNIA > BERITA

SERAH KEPIMPINAN KEPADA GENERASI BAHARU CARA TERBAIK SATUKAN NEGARA - BIDEN

25/07/2024 10:29 AM

WASHINGTON, 25 Julai (Bernama-Anadolu) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada Rabu menjelaskan keputusannya untuk menarik diri daripada pilihan raya presiden, menyatakan bahawa cara terbaik untuk menyatukan negara adalah dengan menyerahkan kepimpinan kepada generasi lebih muda.

"Saya memutuskan bahawa cara terbaik adalah dengan menyerahkan 'obor' kepada generasi baharu. Itu adalah cara terbaik untuk menyatukan negara kita," lapor Agensi Anadolu (AA) memetik kenyataan Biden selepas menarik diri daripada pemilihan berikutan tekanan yang semakin meningkat dari kalangan Demokrat.

Beliau turut menyokong Naib Presiden Kamala Harris sebagai calon Demokrat menjelang pilihan raya November ini.

"Saya perlu menyatukan parti saya dalam usaha penting ini. Saya menghormati jawatan ini, tetapi saya lebih menyayangi negara saya.

"Ia adalah penghormatan terbesar dalam hidup saya untuk berkhidmat sebagai presiden anda. Tetapi dalam mempertahankan demokrasi yang kini terancam, saya fikir ia lebih penting daripada sebarang gelaran," kata Biden.

Presiden itu turut memuji Harris, menggambarkannya sebagai seorang yang "tegas" dan "berwibawa."

"Beliau telah menjadi rakan kongsi yang luar biasa kepada saya dan seorang pemimpin untuk negara kita. Kini pilihan terletak pada anda, rakyat Amerika," katanya.

Biden berkata beliau akan menumpukan kepada tugasnya sebagai presiden yang berbaki beberapa bulan lagi, dengan usaha untuk menurunkan kos perbelanjaan isi rumah, mengembangkan ekonomi, mempertahankan kebebasan, menyeru menentang kebencian dan ekstremisme serta melindungi kanak-kanak daripada keganasan senjata api.

Beliau berkata beliau akan terus menghimpunkan gabungan negara-negara untuk menghalang Presiden Rusia Vladimir Putin daripada menguasai Ukraine dan mengekalkan kekuatan NATO, serta menyokong sekutu di Pasifik.

Biden juga berjanji untuk berusaha menamatkan perang di Gaza.

"Dan saya akan terus berusaha untuk menamatkan perang di Gaza, membawa pulang semua tawanan dan membawa keamanan dan keselamatan ke Asia Barat serta mengakhiri perang ini," katanya.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan