DUNIA > BERITA

Atlet Palestin Disambut Mesra Di Paris

26/07/2024 10:30 AM

PARIS, 26 Julai (Bernama-Anadolu) -- Atlet-atlet Palestin disambut mesra oleh orang ramai sejurus tiba di Lapangan Terbang Paris-Charles de Gaulle, sehari sebelum permulaan Sukan Olimpik Musim Panas 2024, lapor Agensi Anadolu.

“Kami mewakili 15 juta orang tanpa negara. Jadi, apabila kami berada di sini mengibarkan bendera, kadangkala dalam protes, polis mungkin cuba menghalang anda daripada mengibarkan bendera (Palestin), tetapi mereka tidak boleh menghalang saya. Oleh itu, saya melakukannya dengan bangga hari ini,” kata perenang Yazan Al Bawwab kepada Anadolu.

Beliau mengucapkan terima kasih atas sambutan mesra dan sokongan yang diberikan orang ramai.

“Kami adalah sebuah negara yang tertindas, jadi kami gembira berada di sini supaya orang boleh mendengar suara kami.

"Kami ingin bermain sukan seperti orang lain, dan kami mahu dilayan seperti orang lain," katanya.

Seorang lagi atlet Palestin, Fares Badawi menyatakan bahawa beliau berasa teruja dan menghargai sambutan mesra yang diterima sejurus tiba.

“Saya harap kami boleh melakukan yang terbaik untuk negara kami dengan cara terbaik.

“Kami di sini, kami kuat dan kami akan terus menjadi lebih kuat. Kami tidak akan pernah menyerah," kata Badawi.

Peninju Wasim Abusal juga berkata dia berasa seolah-olah berada di samping keluarganya di sini.

"Semua orang di sini hadir bagi mengalu-alukan kedatangan kami. Saya berterima kasih kepada mereka," kata atlet itu.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan