DUNIA > BERITA

Jepun Catat Rekod Belanja 5.92 Trilion Yen Sehari Untuk Tingkatkan Yen Pada April

07/08/2024 07:56 PM

TOKYO, 5 Ogos (Bernama-Kyodo) -- Jepun membelanjakan 5.92 trilion yen (US$41 bilion) pada 29 April untuk memperkukuh mata wangnya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), yang merupakan intervensi pembelian yen terbesar pernah dilakukan, diikuti dengan 3.87 trilion yen dua hari kemudian, menurut data kerajaan pada Rabu, lapor agensi berita Kyodo.

Ini kali pertama data rasmi mengesahkan tarikh dan jumlah operasi pembelian yen dan penjualan dolar oleh pihak berkuasa Jepun antara April dan Jun. Jumlah keseluruhan yang dibelanjakan sepanjang tempoh itu mencecah 9.79 trilion yen, rekod suku tahunan untuk pembelian yen.

Penurunan mendadak yen telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pihak berkuasa Jepun yang pada masa itu mengancam mengambil tindakan "sesuai" untuk bertindak balas terhadap turun naik mata wang itu  yang berlebihan.

Selepas mencecah paras tertinggi dalam tempoh 34 tahun melebihi 160 yen, dolar jatuh kira-kira lima yen dalam masa yang singkat kepada 154 yen di New York pada 29 April.

Pada 1 Mei, mata wang Jepun itu juga jatuh ke zon 153 yen daripada julat 157 yen.

Apabila Kementerian Kewangan memutuskan untuk campur tangan dalam pasaran pertukaran asing, ia meminta Bank of Japan untuk melaksanakan operasi sebenar.

Selepas operasi pada 29 April dan 1 Mei, pegawai kanan Kerajaan Jepun tidak menyatakan sama ada Jepun telah campur tangan, dalam usaha yang jelas membuatkan pedagang pasaran berasa bimbang.

Jepun juga memulakan pusingan pembelian yen yang lain, mungkin pada awal Julai, ketika trend penurunan yen berterusan dengan dolar menghampiri 162 yen, paras tertinggi dalam tempoh 37 tahun berbanding mata wang Jepun.

-- BERNAMA-Kyodo


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan