DUNIA > BERITA

Puak Palestin Kutuk "pembunuhan Beramai-ramai" Israel Terhadap Jemaah Subuh

10/08/2024 07:43 PM

GAZA CITY, 10 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Puak Palestin mengutuk sekeras-kerasnya pada Sabtu "pembunuhan beramai-ramai yang mengerikan" yang dilakukan oleh tentera Israel terhadap rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal yang mencari perlindungan di sekolah Al-Taba'een di kawasan kejiranan Al-Daraj, tengah Gaza, lapor Agensi Anadolu.

Serangan itu, yang menyasarkan orang awam yang menunaikan solat subuh, membunuh lebih 100 rakyat Palestin dan mencederakan beberapa yang lain.

Gerakan Jihad Islam melabelkan serangan itu sebagai "jenayah perang secara menyeluruh" dan berkata: "Memilih masa solat subuh untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai yang mengerikan dan ini mengesahkan bahawa musuh mempunyai niat untuk menyebabkan jumlah syahid sebanyak mungkin dalam kalangan orang awam, termasuk kanak-kanak dan orang tua."

Kumpulan Palestin Hamas juga mengeluarkan kenyataan mengutuk "pembunuhan beramai-ramai" itu, menyebutnya "jenayah serius terhadap kemanusiaan."

Pergerakan itu menekankan bahawa insiden ini adalah sebahagian daripada "corak keganasan yang lebih luas, termasuk serangan terdahulu ke atas hospital dan bangunan kediaman."

Jurucakap Fatah Munther Al-Hayek berkata serangan itu adalah "jenayah keji terhadap orang awam yang terlantar" dan menyeru masyarakat antarabangsa untuk campur tangan segera.

"Kesan tragis dan kekejaman yang menimpa kanak-kanak dalam situasi konflik itu, perlu kesedaran global untuk menghentikan genosid yang dilakukan oleh Israel di Gaza," kata Hayek.

Barisan Demokratik untuk Pembebasan Palestin (DFLP) juga mengutuk "pembunuhan beramai-ramai" itu dengan alasan bahawa "jenayah sedemikian hanya boleh dilakukan oleh Israel kerana sokongan politik dan ketenteraan" yang diterimanya daripada Amerika Syarikat (AS) dan ketiadaan respons daripada masyarakat antarabangsa.

Saksi melaporkan bahawa tiga peluru berpandu menyasarkan kawasan solat mengubahnya menjadi tempat pembunuhan beramai-ramai, dengan mayat hangus dan bertaburan.

Dengan pengeboman sekolah Al-Taba'een, jumlah sekolah yang disasarkan oleh tentera Israel di Bandar Gaza sepanjang minggu lepas telah meningkat kepada enam, menurut pengiraan Anadolu.

Walaupun rayuan pada Khamis daripada pengantara, termasuk Mesir, AS dan Qatar, untuk menghentikan permusuhan, mencapai gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tebusan, Israel berterusan dengan serangan mautnya di Semenanjung Gaza.

Serangan Israel terhadap Semenanjung Gaza telah membunuh hampir 39,700 orang sejak 7 Oktober tahun lepas.  

Israel dituduh melakukan genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), yang mengarahkannya untuk menghentikan segera operasi ketenteraannya di bandar selatan Rafah, yang lebih 1 juta rakyat Palestin telah mencari perlindungan daripada perang sebelum ia diserang pada 6 Mei.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan