EKONOMI > BERITA

MALAYSIA AIRPORTS, MBI METERAI MOU BANGUNKAN ZON 3 DAN 4 LAPANGAN TERBANG SUBANG

22/07/2024 08:54 PM

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Malaysia Airports Holdings Bhd menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) untuk memajukan pembangunan dan pemasaran Zon 3 dan Zon 4 di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang (Lapangan Terbang Subang).

Pembangunan zon itu yang dikhususkan untuk segmen perniagaan penerbangan dan aeroangkasa di bawah Pelan Penjanaan Semula Lapangan Terbang Subang (SARP) akan merangkumi penciptaan kawasan baharu.

Ia melibatkan perniagaan hangar penerbangan dan perluasan ekosistem aeroangkasa yang memenuhi keperluan pengeluar aeroangkasa, pemasang dan pengendali penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO) komponen.

MoU itu, yang dimeterai pada Pertunjukan Udara Antarabangsa Farnborough 2024 di United Kingdom hari ini, dijangka mewujudkan ekosistem teguh yang memupuk inovasi, kemampanan dan pertumbuhan ekonomi di rantau ini, katanya dalam satu kenyataan bersama.

Malaysia Airports yang diwakili Ketua KLIA Aeropolis Sdn Bhd (KLIA Aeropolis) Randhil Singh berkata dengan menggabungkan sumber dan kepakarannya, ia berupaya memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan mewujudkan peluang baharu untuk masyarakat setempat.

"Perkongsian ini menandakan satu langkah penting dalam meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam industri penerbangan dan aeroangkasa global.

"Pembangunan di bawah SARP bersedia untuk menjadi asas pertumbuhan ekonomi Malaysia, menawarkan kemudahan terkini dan persekitaran yang dinamik untuk perniagaan berkembang maju," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Saipolyazan M Yusop berkata pembangunan itu secara langsung akan menyokong matlamat negeri, yang mana Lapangan Terbang Subang disasarkan untuk berkhidmat kepada sektor perniagaan penerbangan manakala KLIA Aeropolis memberi perkhidmatan kepada sektor penerbangan komersial.

“Pembahagian yang jelas ini akan memberikan pencerahan bagi pembangunan kawasan sekitar di Subang dan Sepang, termasuk limpahan ekonomi ke dalam koridor ekonomi Zon Pembangunan Ekonomi Gerbang Maritim Selangor (ZPE SMG) dan Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS).

"Kerjasama kami ini akan menempatkan Selangor di hadapan, menjadikannya negeri pilihan pelabur bagi sektor penerbangan di Malaysia," katanya.

Kerjasama strategik yang dicadangkan itu dijangka meningkatkan pendedahan dan mewujudkan usaha promosi yang sangat tertumpu untuk menarik pemain industri, termasuk pengeluar aeroangkasa terkemuka dan penyedia perkhidmatan MRO, serta institusi penyelidikan.

Ini akan memupuk ekosistem yang kukuh untuk inovasi dan penciptaan pekerjaan, meletakkan Selangor sebagai destinasi pelaburan utama dalam sektor aeroangkasa di Asia Tenggara, kata Saipolyazan.

Pada Februari 2024, kerajaan Persekutuan meluluskan SARP yang dibangunkan oleh Malaysia Airports untuk menaik taraf dan membangunkan Lapangan Terbang Subang dan kawasan sekitarnya seluas 477.33 hektar (1,179.5 ekar) kepada tiga segmen utama iaitu perniagaan penerbangan, ekosistem aeroangkasa dan lapangan terbang bandar.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan