EKONOMI > BERITA

AIRASIA PERLUAS OPERASI KE LAPANGAN TERBANG SUBANG, TERBANG KE BORNEO MULAI 30 OGOS

23/07/2024 05:30 PM

SUBANG, 23 Julai (Bernama) -- AirAsia memperluas operasinya di Malaysia ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (Lapangan Terbang Subang) dengan dua destinasi domestik iaitu Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah bermula 30 Ogos, 2024.

Usaha itu menandakan satu pencapaian penting dalam sejarah syarikat penerbangan tersebut yang memulakan operasi di Lapangan Terbang Subang pada 23 tahun lepas.

Pengarah Urusan AirAsia Malaysia Datuk Kapten Fareh Mazputra berkata perluasan itu melengkapkan operasi di hab utama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Terminal 2) (KLIA2), mengukuhkan kedudukan sebagai syarikat penerbangan terbesar negara dari segi rangkaian dan kapasiti.

“Keputusan untuk beroperasi kembali di Lapangan Terbang Subang sebagai lapangan terbang kedua kami di Kuala Lumpur didorong oleh beberapa faktor dan peluang yang menarik.

“Lokasi lapangan terbang yang berdekatan dengan pusat bandar serta dikelilingi subbandar menawarkan pengalaman perjalanan yang optimum untuk penumpang dari kawasan setempat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan operasi AirAsia di Lapangan Terbang Subang di sini, pada Selasa.

Pelancaran itu disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd Tan Sri Tony Fernandes.

AirAsia dilancarkan pada 2001 oleh Tony bersama Pengerusi Capital A Bhd Datuk Kamarudin Meranun dengan hanya dua pesawat di Lapangan Terbang Subang sebelum berpindah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setahun kemudian.

Pada 2014, AirAsia memindahkan operasinya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Terminal 2) (KLIA2) dari Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) di Sepang selepas lapan tahun beroperasi di sana.

Kapten Fareh berkata bagi operasi di Lapangan Terbang Subang, AirAsia akan menggunakan dua pesawat dengan 14 penerbangan setiap minggu.

Beliau berkata operasi tambahan itu dijangka memacu fasa pertumbuhan seterusnya, bukan sahaja di Malaysia malah juga di seluruh rantau ini.

“Kami berharap untuk menambah lebih banyak laluan dari Subang, terutama laluan antarabangsa yang kini dalam perancangan dan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa.

“Ini akan merealisasikan visi kami untuk menjadikan Malaysia sebagai hab penerbangan utama di rantau ini. Kami optimis untuk menjadikan Subang sebagai hab keenam kami di Malaysia pada masa hadapan untuk memperkukuh rangkaian, meningkatkan kapasiti dan menawarkan lebih banyak destinasi,” katanya.

Sementara itu, Tony yang juga Penasihat AirAsia Aviation Group berkata keputusan kerajaan memulihkan lapangan terbang itu sebagai hab penerbangan serantau adalah sejajar dengan misi pihaknya untuk terus merevolusikan industri penerbangan.

Beliau berkata syarikat juga merancang untuk memperkenalkan AirAsia+ bagi tawaran penerbangannya di Lapangan Terbang Subang sekali gus menawarkan lebih nilai untuk penumpang perniagaan.

Bagi meraikan pengumuman itu, AirAsia menawarkan tambang promosi untuk penerbangan dari Subang ke Kuching dan ke Kota Kinabalu

Tambang promosi itu boleh ditempah melalui aplikasi AirAsia MOVE (dahulunya dikenali sebagai airasia Superapp) dan airasia.com mulai hari ini sehingga 28 Julai, 2024 untuk tempoh perjalanan antara 30 Ogos, 2024 dengan 8 Okt, 2025.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan