EKONOMI > BERITA

99 Speed Mart Lancar IPO Terbesar Di Malaysia, Jangka Kumpul RM2.36 Bilion

15/08/2024 06:26 PM

SHAH ALAM, 15 Ogos (Bernama) -- Rangkaian pasar mini terkemuka, 99 Speed ​​Mart Retail Holdings Bhd akan meningkatkan sektor runcit menerusi pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) terbesar di Malaysia dalam tempoh tujuh tahun.

IPO itu dijangka mengumpul RM2.36 bilion untuk penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia dijadual pada 9 September depan.

Menurut prospektus, IPO berkenaan ditetapkan pada harga RM1.65 sesaham, ia telah menarik 14 pelabur utama (cornerstone investors) termasuk syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan pengurus aset, sokongannya meliputi 55 peratus daripada saiz IPO tersebut.

Pelabur utama bermaksud pelabur yang komited untuk mengambil nilai tetap saham (kebiasaannya dalam jumlah yang besar) IPO pada peringkat awal.

Perjanjian tersebut melibatkan tawaran untuk penjualan 1.03 bilion saham sedia ada dan terbitan awam sebanyak 400 juta saham baharu.

Bahagian institusi pula terdiri daripada 1.22 bilion saham menerusi proses penetapan harga dan 210 juta saham telah diperuntukkan kepada pelabur runcit.

Terbitan awam itu akan mengumpul kira-kira RM600 juta dan tawaran jualan berjumlah kira-kira RM1.7 bilion.

Pengarah gantian Albert Lew Yan Zhong berkata RM389.0 juta, atau 58.9 peratus daripada bahagian awam akan digunakan untuk mengembangkan rangkaian cawangannya dan RM100 juta (15.2 peratus) untuk menubuhkan pusat pengedaran.

“Kami akan memperuntukkan 8.3 peratus (RM55.0 juta) untuk membeli trak penghantaran, RM47.6 juta untuk menaik taraf cawangan sedia ada dan untuk mendapatkan peralatan cekap tenaga dan RM45.0 juta untuk mengurangkan pinjaman sedia ada kumpulan dengan baki RM23.4 juta untuk menampung perbelanjaan penyenaraian,” katanya pada sidang media pada majlis pelancaran prospektus syarikat itu hari ini.

99 Speed ​​Mart sedang menyasarkan pengembangan cawangannya dengan sasaran 3,000 cawangan pada 2025 daripada 2,651 di seluruh negara ketika ini.

“Wujud peluang di wilayah Pantai Timur. Kami hanya mempunyai tujuh cawangan di Terengganu dan telah membuka pusat pengedaran di Gambang, Kuantan untuk menyokong cawangan kami di Terengganu.

“99 Speed Mart tiada cawangan di Kelantan. Kami bercadang untuk membuka enam lagi pusat pengedaran untuk menyokong rancangan pertumbuhan kami. Ketika ini terdapat 19 pusat pengedaran di seluruh negara,” katanya.

Lee berkata rangkaian runcit itu melancarkan "99 Bulksales" tahun lepas untuk meneroka pasaran runcit dan perusahaan, membolehkan pelanggan membeli secara pukal dalam talian.

Segmen ini masih awal, menyumbang RM1 juta jualan bulanan kepada pendapatan kumpulan.

“Kami memperkenalkan segmen itu tahun lepas, menyasarkan wilayah tengah di Semenanjung Malaysia. Kami memperluaskannya ke bahagian selatan Malaysia dan secara konsisten mahu mengembangkan perkhidmatan walaupun kami perlu menilai aspek logistik,” katanya.

Mengenai pengembangan pasaran antarabangsa, Lee berkata syarikat itu menubuhkan Yiwu Speed ​​Mart Import dan Export dan Yiwu J-Jade Trading di China untuk mengendalikan aktiviti perolehan.

IPO 99 Speed ​​Mart itu dilaporkan sebagai pelaksanaan IPO terbesar di Asia Tenggara dalam tempoh lebih setahun sejak penyenaraian Amman Mineral Internasional Indonesia pada Julai 2023.

Menurut laporan 2024 Southeast Asia Mid-Year IPO Snapshot Deloitte, Malaysia mengumpul sebanyak US$450 juta dalam pasaran modal IPO atau 33 peratus daripada US$1.4 bilion rantau itu yang diperoleh pada separuh pertama 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan