EKONOMI > BERITA

ITMAX Raih Kontrak Sistem Pengawasan AI Bernilai RM539 Juta Daripada DBKL

16/08/2024 03:29 PM

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- ITMAX System Bhd memperoleh kontrak RM539 juta daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memasang sistem pengawasan video yang dipertingkatkan dengan kecerdasan buatan (AI) di seluruh bandar raya.

Di bawah kontrak ini, ITMAX berkata ia akan memasang 5,000 kamera litar tertutup untuk melengkapkan infrastruktur pengawasan video sedia ada di Kuala Lumpur, yang akan dilengkapi dengan keupayaan AI termaju untuk analisis masa nyata, pemantauan keselamatan yang dipertingkatkan dan pengurusan bandar raya.

Kontrak 10 tahun itu merangkumi fasa pemasangan selama setahun diikuti dengan fasa langganan sembilan tahun, katanya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif William Tan Wei Lun dalam satu kenyataan hari ini berkata keupayaan AI termaju syarikat itu akan memberikan cerapan dan analitik masa nyata untuk menyokong majlis bandar raya dalam mengoptimumkan pengurusan bandar raya itu.

“Menerusi pengembangan ini, sistem pengawasan video kami kini akan merangkumi 10,000 unit pengawasan pintar, disambungkan dengan lancar melalui infrastruktur rangkaian gentian optik di seluruh Kuala Lumpur.

"Kami menjangka terdapat permintaan yang berterusan dan meningkat bagi penyelesaian pengawasan didorong oleh AI yang komprehensif, dan kami percaya ia akan meningkatkan keselamatan awam dengan ketara serta meningkatkan kualiti hidup keseluruhan di bandar raya ini," katanya.

ITMAX terlibat terutamanya dalam perniagaan pembekalan, pemasangan dan penyediaan sistem rangkaian ruang awam, memfokuskan pada sistem lampu rangkaian dan sistem pengurusan trafik, serta menyediakan kemudahan rangkaian, termasuk pengawasan video dan perkhidmatan rangkaian komunikasi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan