EKONOMI > BERITA

Unit IJM Corp Peroleh Kontrak Bernilai RM561 Juta

19/08/2024 07:43 PM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh IJM Corp Bhd, IJM Construction Sdn Bhd memperoleh dua kontrak bernilai RM561 juta terdiri daripada pusat data di Johor dan kemudahan perkilangan perindustrian di Pulau Pinang.

IJM Corp dalam satu kenyataan hari berkata usaha sama dengan nisbah kepentingan 50:50 antara Woh Hup Malaysia Sdn Bhd dan IJM Construction telah dianugerahkan kontrak RM508 juta daripada pemaju pusat data antarabangsa.

Projek tersebut melibatkan pembinaan dua bangunan pusat data di Gelang Patah, Johor dengan bangunan pertama dijadualkan siap pada suku ketiga 2025 dan bangunan kedua pula dijangka siap pada suku pertama 2026.

Kumpulan itu berkata IJM Construction juga telah mendapat kontrak bernilai RM307 juta untuk pembinaan kemudahan pembuatan dan pergudangan elektrik dan elektronik (E&E) baharu di Batu Kawan, Pulau Pinang.

Kemudahan paling canggih berkeluasan 560,000 kaki persegi terletak di kawasan seluas 8.09 hektar (20 ekar) di Taman Teknologi Bandar Cassia adalah untuk sebuah syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat dalam sektor E&E bertujuan untuk menyokong pertumbuhan dalam peralatan modal semikonduktor dan pasaran peranti penjagaan kesihatan.

Pembinaan kemudahan itu akan dimulakan pada Ogos 2024 dengan dijangka siap pada Oktober 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Urusan Kumpulan IJM Corp Lee Chun Fai berkata penganugerahan kontrak berkenaan menyerlahkan kepakaran IJM Construction dalam menguruskan projek kompleks mengikut jadual yang dipercepatkan sebagai pakar dalam pembinaan bangunan perindustrian, pusat data dan pusat logistik bersepadu.

“Permintaan yang semakin meningkat untuk pusat data dan kemudahan E&E seiring dengan fokus strategik kami, membuka laluan baharu untuk pertumbuhan dalam sektor kritikal ini. Bekerjasama dengan rakan kongsi terkemuka seperti Woh Hup meningkatkan keupayaan IJM untuk memenuhi permintaan industri dan memberikan hasil yang boleh dipercayai,” katanya.

Kedua-dua kontrak itu menjadikan pekerjaan terjamin IJM Construction setakat tahun ini kepada RM1.9 bilion termasuk nilai perolehan tertunggak RM6.0 bilion pada 31 Mac 2024, jumlah nilai perolehan kontrak kumpulan itu kini berjumlah RM7.9 bilion.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan