EKONOMI > BERITA

PPB Group Sedia Perbelanjaan Modal RM787 Juta

05/09/2024 10:12 PM

KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- PPB Group Bhd menyediakan peruntukan sebanyak RM787 juta bagi perbelanjaan modal (capex) untuk tempoh lima tahun akan datang.

Ketika memperincikan aspek itu, Pengarah Urusan Lim Soon Huat berkata ini termasuk RM392 juta untuk pelaburan kilang tepung di China dan pembinaan kemudahan penyimpanan dan fasiliti berkaitan jagung di Malaysia manakala RM296 juta untuk tujuh pawagam baharu di Malaysia selain menambah baik pawagam sedia ada.

“Sejumlah RM67 juta pula bagi menaik taraf sistem dan automasi bahagian produk pengguna dan RM32 juta untuk pengubahsuaian Cheras Leisure Mall,” katanya selepas sesi taklimat dengan media dan penganalisis di sini, hari ini.

Lim berkata konglomerat pelbagai cabang niaga itu akan turut menumpukan usaha meningkatkan pengurusan rantaian bekalan dan kecekapan operasi bagi mengurangkan kesan potensi gangguan akibat perubahan iklim, konflik geopolitik dan ketidaktentuan pasaran ekonomi dan kewangan.

“Keadaan tidak menentu di pasaran bijirin adalah antara cabaran perniagaan yang perlu kami hadapi. Persoalannya, adalah bagaimana kami dapat menguruskan turun naik harga ini.

“Ada kemungkinan berlakunya ketidaktentuan pasaran yang lebih ketara...kami juga tidak dapat meramalkan perkembangan geopolitik,” katanya.

Beliau berkata cabaran seperti konflik Rusia-Ukraine misalnya telah mengukuhkan kemampuan kumpulan itu dari segi mengurus penyumberan dan rantaian bekalan selain memanfaatkan kepakaran teknikalnya dalam aspek formulasi produk.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan