EKONOMI > BERITA

Belanjawan 2025: Rehda Harap Kerajaan Terus Bantu Pembeli Rumah Pertama

12/09/2024 05:26 PM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) berharap Belanjawan 2025, yang dijadualkan dibentangkan menjelang 18 Oktober akan mengekalkan sokongan kerajaan kepada pembeli rumah kali pertama.

Presidennya, Datuk Ho Hon Sang percaya bantuan berterusan akan memainkan peranan penting dalam merangsang pasaran hartanah selain menjadikan pemilikan rumah lebih mudah diakses. 

Beliau berpendapat pembeli rumah kali pertama perlu menikmati potongan cukai ke atas faedah yang ditanggung semasa tempoh pembinaan atau pelepasan cukai peribadi sebanyak RM20,000 ke atas hartanah berharga sehingga RM500,000.

“Pembeli rumah juga harus diberikan pelepasan cukai sekali sahaja berjumlah RM30,000 bagi hartanah berharga sehingga RM500,000.

“Sepatutnya ada skim sewa milik untuk pembeli kali pertama dan lebih banyak bank perlu giat melaksanakan skim pembiayaan bertingkat bagi merapatkan kemampuan,” katanya kepada Bernama sebagai respons kepada aspirasi Belanjawan 2025 Rehda.

Sementara itu, Ho berkata penyediaan rumah mampu milik telah dikenakan ke atas pemaju tanpa mengira permintaan atau bekalan di lokasi atau negeri masing-masing. 

Sehubungan itu, Rehda telah mencadangkan satu pasukan petugas ditubuhkan antara mereka dan pihak berkuasa untuk mengkaji serta menganalisis permintaan sebenar rumah mampu milik.

Ini berdasarkan data dan statistik termaklum, dengan mengambil kira pembeli yang disasarkan, lokasi, bilangan unit dan masa, jelas Ho. 

Beliau juga menekankan cabaran untuk mengurangkan kos menjalankan perniagaan, kerana pembayaran serta caruman yang dibuat kepada pihak berkuasa negeri sebagai ganti membina rumah kos rendah tidak dibenarkan sebagai perbelanjaan yang boleh ditolak di bawah Seksyen 33(1) Akta Cukai Pendapatan.

Rehda mencadangkan semua pembayaran dan caruman untuk pengecualian membina rumah kos rendah dibenarkan sebagai perbelanjaan yang boleh ditolak cukai.

Pada masa ini, pemaju dikehendaki menyediakan tanah untuk pembinaan kemudahan sosial, infrastruktur (jalan raya, longkang, pencawang), kawasan lapang serta sumbangan kewangan. 

“Pembeli akhirnya akan menanggung kos ini melalui kenaikan harga rumah. Oleh itu, kami mencadangkan agar caj yang tidak perlu yang dikenakan oleh pihak berkuasa dikaji semula, kerana pemaju sudah pun dikehendaki meletakkan infrastruktur yang diperlukan dalam projek pembangunan mereka. 

“Mengurangkan kos menjalankan perniagaan adalah penting bagi membolehkan hartanah lebih mampu dimiliki,” kata Ho. 

Beliau juga berharap kerajaan akan mengecualikan industri pembinaan daripada levi Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp).

“Ini disebabkan industri sudah pun menyumbang 0.25 peratus daripada jumlah kontrak kepada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) antara lain untuk latihan kakitangan dan pekerja. 

“Sumbangan satu peratus kepada HRD Corp adalah kos tambahan menjalankan perniagaan yang membawa kesan buruk kepada harga hartanah,” katanya. 

Ho ketika mengulas mengenai usaha merangsang revolusi pembinaan 4.0, yang merupakan istilah yang dipakai bagi mencerminkan revolusi perindustrian keempat untuk industri pembinaan, berkata Rehda telah mencadangkan agar insentif ini diperluaskan kepada keseluruhan rantaian bekalan.

“Ini bertujuan memastikan kejayaan inisiatif tersebut dengan potongan cukai korporat diberikan kepada syarikat yang mengguna pakai Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM). 

“Pada masa ini, kebanyakan insentif untuk IBS dan BIM memberi manfaat terutamanya kepada pembekal komponen,” kata Ho, sambil menambah lebih banyak insentif perlu ditawarkan bagi mempercepatkan penggunaan IBS.

Beliau mencadangkan insentif-insentif  seperti mengurangkan kadar cukai pendapatan ke atas pendapatan boleh cukai untuk penjualan projek IBS dengan skor IBS melebihi 70 peratus; pengecualian cukai jualan ke atas produk serta perkhidmatan IBS dalam meningkatkan skala ekonomi termasuk mengurangkan kos IBS; dan menyediakan potongan cukai berganda untuk kos latihan IBS.

"Perlu ada juga elaun cukai berganda untuk perbelanjaan modal dan peningkatan bahagian kos pembinaan akibat penggunaan sistem IBS.

"Termasuk pengecualian atau mengurangkan duti import ke atas jentera, peralatan, produk serta bahan IBS; selain menyediakan faedah pinjaman khas untuk perolehan perisian BIM dan sebarang peralatan serta jentera bagi IBS,” kata Ho.

Dalam mempromosikan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), beliau berkata Rehda telah mencadangkan kerajaan agar menyediakan beberapa insentif cukai untuk pengguna, pemaju, pemilik, pengendali bangunan hijau dan pembangunan hartanah hijau. 

Ini termasuk menyediakan potongan cukai dua kali ke atas tambahan kos hijau yang ditanggung dalam pembinaan bangunan yang diperakui mesra alam serta perkhidmatan perundingan berkaitan bangunan hijau.

“Perlu juga ada pengecualian duti setem untuk hartanah hijau; serta geran atau subsidi bagi bangunan sedia ada untuk menjalankan audit tenaga, penanda aras sistem aktif dan mengenal pasti elemen yang sesuai bagi naik taraf,” kata Ho.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan