LELAKI TUNGGANG MOTOSIKAL SAMBIL ACU PISTOL TIRUAN DITAHAN

18/07/2024 07:05 PM

KUALA TERENGGANU, 18 Julai (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki yang menunggang motosikal sambil memegang sebuah objek menyerupai pistol di sekitar Bukit Besar di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata lelaki berusia 26 tahun itu yang videonya tular di media sosial ditahan di Kampung Ladang Sehat pada 1.30 tengah hari tadi. 

"Polis turut merampas sepucuk pistol disyaki tiruan berwarna hitam bercetak De In Israel, sebuah motosikal jenis Honda C70 dan pakaian yang dipakai suspek ketika kejadian. 

"Hasil soal siasat, lelaki yang berasal dari Ranau, Sabah itu mengaku terlibat dalam kes yang sedang disiasat. Suspek memaklumkan pistol tersebut diambil di dalam tong sampah berhampiran bulatan Ladang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Beliau berkata pembantu kedai makan itu juga positif dadah jenis methamphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960.

Menerusi sebuah video berdurasi 22 saat, seorang lelaki dilihat menunggang motosikal secara merbahaya di persimpangan lampu isyarat sambil mengacu sebuah objek berupa pistol terhadap pemandu di sekitarnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan