PENGELUARAN RM24.2 JUTA: 10 TERMASUK PENGURUS BANK DIDAKWA ANGGOTA JENAYAH TERANCANG

25/07/2024 01:50 PM

KOTA KINABALU, 25 Julai (Bernama) -- Sepuluh individu termasuk dua pengurus bank yang dikaitkan dengan pengeluaran RM24.2 juta wang deposit tetap sebuah bank didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Dua pengurus bank Iren Chin Nyuk Thien, 38, dan Christina @ Caroline Pianus, 53, dituduh atas kesalahan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang yang diketuai oleh Josepin J.Langkan, 38.

Turut dituduh Mazlani Jenuary, 53; Hasran Magin, 46; Leong Hin Ping, 62; T.Subramaniam, 56; Sugumaran K.Ponniah @ Mohd Daniel Abdullah, 56; Vireonis Jonok, 35; Nasir Abdul Rashid, 60.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 26 April dan 10 Julai lepas di cawangan MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) di sini. 

Pertuduhan dibuat di hadapan Hakim Amir Shah Amir Hassan mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minima lima tahun hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lina Hanini Ismail dan Maryam Jamielah Ab Manaff, manakala semua tertuduh diwakili peguam kecuali Hasran. 

Lina Hanini dalam hujahannya berkata pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh antara lain disebabkan faktor keselamatan, dan kes itu melibatkan kepentingan awam.

Mahkamah juga tidak membenarkan sebarang jaminan ke atas semua tertuduh selain memerintahkan mereka ditahan sehingga 13 Sept ini sementara menunggu usul di Mahkamah Tinggi.

Selasa lepas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata 10 individu ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana disyaki terlibat sindiket mencuri wang deposit tetap milik pelanggan sebuah bank dianggarkan RM24.7 juta, akan didakwa di sini hari ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan