Pekerja Asing Lari Bertempiaran Dalam Operasi Imigresen

23/08/2024 10:12 AM

NIBONG TEBAL, 23 Ogos (Bernama) -- Sekumpulan warga asing yang sedang bekerja di sebuah restoran dan sebuah premis barangan lusuh di Sungai Bakap di sini, bertindak melarikan diri apabila menyedari kehadiran Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang, semalam.

Namun cubaan mereka meloloskan diri tidak berjaya kerana pasukan JIM Pulau Pinang terlebih dahulu mengepung dua premis tersebut malah ada dalam kalangan anggotanya berada di situ lebih awal secara penyamaran.

JIM Pulau Pinang memaklumkan ketika pemeriksaan terdapat seorang lelaki tempatan dipercayai pemilik premis cuba menimbulkan kekecohan bagi melengahkan operasi.

"Dalam operasi itu seramai 17 orang pekerja di dua premis tersebut telah diperiksa sebelum lima lelaki dan empat wanita warga Myanmar ditahan, berusia 25 hingga 38 tahun.

"Kes itu disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan kesemua yang ditahan telah dihantar ke Depot Imigresen Juru, Bukit Mertajam untuk siasatan lanjut," menurut hantaran di Facebook jabatan itu, hari ini.

Siasatan dan tindakan lanjut ke atas pemilik perniagaan yang menggaji pekerja asing tanpa izin itu sedang dijalankan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan