BERITA TERGEMPAR   ACE Market-bound Solar District Cooling Group Bhd aims to raise RM45.09 million from IPO; scheduled to list on Sept 19, 2024 | 

15 Okt Untuk Serahan Dokumen Kes Lelaki Cuba Bunuh Isteri Di KLIA

28/08/2024 12:06 PM

SEPANG, 28 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Sesyen Sepang hari ini menetapkan 15 Okt ini untuk penyerahan dokumen bagi kes seorang pengurus sebuah syarikat agensi pelancongan yang didakwa cuba membunuh isterinya dan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang pengawal peribadi kepada wanita itu.

Hakim Amir Affendy Hamzah menetapkan tarikh berkenaan selepas Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin memaklumkan sebahagian dokumen belum diserahkan kepada pasukan pembelaan.

"Saya dimaklumkan sebahagian dokumen telah diserahkan kepada pihak pembelaan, setakat ini yang diterima laporan forensik manakala laporan-laporan lain masih lagi belum diterima.

"Justeru, pihak pendakwaan memohon satu tarikh sekali lagi bagi melengkapkan kesemua dokumen untuk diserahkan kepada pihak pembelaan sebelum tarikh bicara ditetapkan," kata Ahmad Zuhaini.

Semasa prosiding, peguam Nik Azim Azlan yang mewakili Hafizul Hawari, 38, mengesahkan bahawa sebahagian dokumen telah diserahkan kepada pembelaan. 

Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, Amir Affendy menetapkan 15 Okt bagi sebutan semula kes untuk serahan dokumen lanjutan seperti yang dimaklumkan pihak pendakwaan.

Pada 25 April lepas, Hafizul didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan cuba membunuh isterinya Farah Md Isa, 38, di Balai Ketibaan Antarabangsa Aras 3, Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada 1.09 pagi, 14 April.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda, dan jika menyebabkan kecederaan hendaklah dipenjara hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap pengawal peribadi isterinya itu, Mohd Nur Hadith Zaini, 38, dengan menggunakan pistol yang boleh menyebabkan kematian di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Bagi pertuduhan itu, Hafizul didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Pada 24 April, Hafizul mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan