Pasangan Kekasih Ditahan Edar Ganja Bernilai Hampir RM40,000

02/10/2024 02:34 PM

SHAH ALAM, 2 Okt (Bernama) -- Polis menahan sepasang kekasih warga tempatan kerana dipercayai terbabit sindiket pengedaran dadah jenis ganja bernilai RM38,068 dalam serbuan berasingan di Petaling Jaya pada 26 Sept lepas. 

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata seorang daripada suspek iaitu lelaki berusia 24 tahun ditahan di sebuah tempat letak kenderaan di Petaling Jaya pada 3.50 petang dan merampas 20 bungkusan disyaki ganja dengan anggaran berat 2.12 kilogram (kg). 

“Susulan tangkapan itu, polis menahan seorang perempuan tempatan berusia 19 tahun di sebuah kondominium yang disewa mereka pada 5 petang pada hari dan sekitar kawasan yang sama.

“Tangkapan itu membawa kepada rampasan dua buah bagasi mengandungi dadah dipercayai ganja seberat 5.06 kg dan 3.18 kg di kondominium berkenaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam hari ini.

Mohd Iqbal berkata siasatan awal mendapati kedua-dua suspek bergiat aktif sejak setahun lepas di sekitar Lembah Klang dan mendapat bekalan dadah dari negara jiran.  

Modus operandi pasangan itu dengan menghantar bekalan dadah kepada pelanggan secara bersemuka setelah mendapat pesanan menerusi aplikasi Telegram.

“Kedua-dua suspek ditahan reman tujuh hari hingga esok bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya sambil menambah sebuah kereta bernilai RM200,000 turut disita.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan