Penjenayah Dikehendaki Ditembak Mati Di Tanjung Malim

14/10/2024 05:57 PM

IPOH, 14 Okt (Bernama) -- Seorang lelaki dipercayai penjenayah dikehendali ditembak mati ketika berbalas tembakan dengan polis di Jalan Slim Lama, Tanjung Malim awal pagi tadi.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata dalam kejadian 3.10 pagi itu sepasukan polis menjalankan tugas risikan dan rondaan di sekitar kawasan berkenaan telah mengesan seorang lelaki memandu laju sebuah kereta Nissan Almera.

"Ketika diarahkan berhenti, suspek terus memecut dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan polis. Bertindak untuk mempertahankan diri, polis membalas beberapa tembakan dan telah mengenai suspek.

"Suspek disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas kesihatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.

Azizi berkata suspek berusia 43 tahun dan berasal dari Klang, Selangor itu mempunyai 11 rekod jenayah lampau dan seorang daripada dalang sebuah kumpulan yang terbabit dalam samun pemborong emas.

Beliau berkata hasil semakan mendapati kumpulan itu terlibat sekurang-kurangnya 25 kes samun emas di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor, Negeri Sembilan dan Perak sejak 2018 dengan nilai kerugian dianggarkan sebanyak RM34.2 juta.

"Kejadian samun terbaru yang dilakukan kumpulan itu berlaku di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 27 Ogos lepas melibatkan kerugian emas seberat 4.5 kilogram dianggarkan bernilai RM1.485 juta.

"Pihak polis juga sedang mengesan saki baki kumpulan itu," katanya.

Beliau berkata hasil semakan mendapati kereta yang dipandu suspek ialah kereta yang dicuri pada 2017 dan menggunakan nombor plat kenderaan palsu semasa kejadian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan