EKONOMI

SKIM BIAYA PINJAMAN PKS, MIKRO NEGERI JOHOR DIMUKTAMADKAN BULAN DEPAN

27/01/2023 11:17 AM

JOHOR BAHRU, 27 Jan (Bernama) -- Inisiatif Skim Pembiayaan Pinjaman Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dan Perusahaan Mikro Negeri Johor bagi membantu golongan terbabit, dijangka dapat dimuktamadkan pada bulan depan, kata Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau juga optimis bahawa skim menerusi hasil perbincangan bersama Bank Rakyat Bhd, berupaya merancakkan lagi ekonomi di negeri tersebut

“Setelah berbincang dengan delegasi Bank Rakyat, kerajaan negeri bersetuju untuk memudahcara Skim Pembiayaan Pinjaman PKS dan Perusahaan Mikro Negeri Johor bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka yang terbabit.

“Jumlah pembiayaan pinjaman adalah antara RM50,000 hingga RM500,000. Bagi terus membantu para pengusaha, kerajaan negeri akan menanggung 100 peratus kadar faedah pinjaman bagi Perusahaan Mikro serta hampir separuh daripada kadar faedah bagi PKS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Onn Hafiz juga menyifatkan kerjasama dengan bank yang mempunyai aset melebihi RM115 billion dan merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), diyakini dapat membantu kerajaan negeri melonjakkan semula ekonomi di Johor serta selari dengan usaha dalam meningkatkan lagi prestasi sektor industri lain.

“Kerajaan negeri memandang serius cabaran yang dihadapi oleh PKS dan perusahaan mikro. Kita berharap inisiatif ini akan menjadi satu lagi pemangkin yang membolehkan mereka terus berkembang maju pada masa akan datang,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan