JENAYAH & MAHKAMAH

Jurutera Didenda Rm1,500 Halang Tugas Pegawai Polis

20/02/2024 07:35 PM

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Seorang jurutera didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menghalang tugas anggota polis dengan enggan mengemukakan dokumen pengenalan diri dan mengeluarkan kata-kata kasar berunsur provokasi, tiga hari lepas.

Majistret S. Mageswary menjatuhkan hukuman itu terhadap B. Karthikeyan, 31, yang mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Tertuduh didakwa menghalang Inspektor KV. Suresh daripada menjalankan tugas dengan enggan mengemukakan dokumen pengenalan diri dan mengeluarkan kata-kata kasar berunsur provokasi yang berbunyi, “Eh, you poliskan. U check la sendiri” semasa ditanya mengenai laporan polis yang pernah dibuat.

Kesalahan itu dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields pada jam 5 pagi, Sabtu lepas  mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, B. Sareeka memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh agar tidak melakukan kesalahan sama.

Peguam SK Loges yang mewakili Karthikeyan memohon hukuman denda yang rendah kerana anak guamnya menanggung keluarga dan insaf serta kesal atas perbuatan dilakukan.

“ Pengalaman direman selama tiga hari juga telah memberi pengajaran kepada anak guam saya," katanya dan menambah anak guamnya tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.  

Di mahkamah sama, Karthikeyan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri untuk pemeriksaan pihak polis, di lokasi dan tarikh yang sama.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Peraturan 25 (1) (N) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman maksimum tiga tahun penjara atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mageswary membenarkan Karthikeyan diikat jamin RM800 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Mac ini untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan