AM

PERJUANGAN DEMI PERPADUAN, MA63 BERSAMA JOSEPH KURUP SENTIASA DIINGATI - FADILLAH

19/04/2024 07:49 PM

KOTA KINABALU, 19 April (Bernama) -- Perjuangan demi mengukuhkan perpaduan negara dan merealisasikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bersama mendiang Tan Sri Joseph Kurup adalah antara kenangan abadi yang akan sentiasa diingati oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Justeru, Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu berkata beliau amat terasa kehilangan seorang sahabat karib dengan pemergian Joseph pada Rabu lepas dan mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.

"Mendiang banyak menyumbang kepada pembangunan negeri Sabah dan Malaysia. Pengalaman saya bersama mendiang dalam Kabinet ialah beliau lemah lembut dan amat fokus kepada kerja… banyak sangat kenangan manis saya bersama mendiang.

"Saya secara peribadi kehilangan seorang kawan yang baik dan seorang pemimpin yang amat baik. Saya harap dan mendoakan segala kebaikan untuk mendiang serta keluarga," katanya kepada pemberita selepas memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang di Wisma Fook Lu Siew di sini hari ini.

Terdahulu, ketibaan Fadillah disambut anak mendiang iaitu Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup sebelum bertemu ahli keluarga termasuk balunya, Puan Sri Melinda Mak Soak Fong.

Upacara penghormatan terakhir untuk Joseph, yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan dan Integrasi Nasional), akan berlangsung selama empat hari bermula hari ini sebelum majlis pengebumian, yang dijadual pada Selasa depan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan