EKONOMI

PEMIMPIN UTAMA INDUSTRI QATAR HADIRI MESYUARAT MEJA BULAT DENGAN PM ANWAR

13/05/2024 10:42 PM

Daripada Nor Baizura Basri

DOHA,13 Mei (Bernama) - Estithmar Holding dan Baladna, antara syarikat terbesar dari segi permodalan pasaran di Qatar, merupakan sebahagian daripada beberapa syarikat utama negara Teluk itu menghadiri mesyuarat meja bulat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dihoskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI).

Baladna, syarikat pegangan saham awam yang ditubuhkan pada 2014, merupakan pengeluar tenusu dan minuman terbesar di Qatar dan membekalkan lebih 95 peratus daripada bekalan susu segar negara itu. 

Sementara itu, Estithmar Holding adalah syarikat senaraian awam Qatar dan memiliki 51 syarikat yang beroperasi dalam empat sektor strategik iaitu penjagaan kesihatan, perkhidmatan, kontrak dan industri, serta usaha niaga.

Pertemuan meja bulat Perdana Menteri dengan pemimpin industri itu adalah sebahagian daripada usaha agresif Malaysia untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi ke dalam negara.

Lebih 30 eksekutif tertinggi dan pemimpin perniagaan mengambil peluang untuk bertemu dengan Anwar yang memberi taklimat kepada mereka mengenai iklim terkini pelaburan di Malaysia, sambil meyakinkan mereka bahawa negara boleh menjadi destinasi pelaburan pilihan mereka dan rakan perdagangan yang kompetitif.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, kini sedang dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Qatar sebagai sebahagian daripada misi untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan berpotensi kepada pelabur negara tersebut.

 Syarikat yang menghadiri pertemuan meja bulat itu kebanyakannya daripada sektor perkhidmatan, pembuatan serta pelaburan.

Syarikat lain yang turut menyertainya termasuk Taleb Group, Morex Group, Tamam Capital dan Al Mana Group.

Anwar meluangkan masa kira-kira sejam dalam sesi interaktif berbincang dan memaklumkan perkembangan terkini mengenai ekonomi Malaysia, ekosistem perniagaan serta Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 kepada ahli perniagaan Qatar

Sesi itu diperantarakan oleh Menteri MITI Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. 

Selain menarik pelaburan berpotensi melalui mesyuarat meja bulat itu, Malaysia juga berharap dapat meningkatkan kesedaran dalam komuniti perniagaan Qatar untuk mendapatkan lebih banyak produk serta perkhidmatan dari Malaysia.

 Ini dilihat sebagai penting ketika kedua-dua negara memulakan fasa baharu kerjasama tatkala meraikan ulang tahun ke-50 perdagangan dua hala tahun ini.

Tahun lepas, perdagangan dua hala Malaysia dengan Qatar berjumlah RM4.2 bilion, dengan negara Teluk itu menjadi rakan dagang kelima terbesar Malaysia, destinasi eksport keenam terbesar dan sumber import keenam terbesar dari rantau Asia Barat.

Bagi tempoh Januari hingga Mac 2024, jumlah perdagangan Malaysia dengan Qatar meningkat sebanyak 178.4 peratus kepada RM1.43 bilion (US$303.9 juta) berbanding RM514.9 juta (US$116.7 juta) pada tempoh yang sama pada 2023.

Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Qatar merupakan antara negara terkaya di dunia, dengan pendapatan per kapita hampir US$96,610 pada 2020.

Dilaporkan bahawa petroleum dan gas asli adalah sumber utama ekonominya, dengan Qatar memiliki salah satu rizab gas asli terbesar di dunia. 

-- BERNAMA

 



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan