AM

KABINET ZAHIR TAKZIAH ATAS PEMERGIAN PRESIDEN RAISI

21/05/2024 04:52 PM

PUTRAJAYA, 21 Mei (Bernama) -- Jemaah Menteri hari ini menzahirkan ucapan takziah atas kehilangan Presiden Iran Ebrahim Raisi, yang terlibat dalam nahas helikopter di barat laut Iran pada Ahad, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

“Ia adalah satu kemalangan yang cukup menyedihkan...memang meninggalkan kesan, kita ucap takziah,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada mesyuarat Kabinet tersebut, telah menyingkap dua pertemuan beliau dengan Raisi sebelum ini dan menyifatkan hubungan baik Malaysia-Iran telah bertambah erat.

Anwar dalam satu hantaran Facebook semalam (20 Mei), turut berkongsi sekeping gambar beliau bertemu Raisi pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, Amerika Syarikat, November tahun lepas.

Presiden Persatuan Bulan Sabit Merah Iran (IRCS) Pir-Hossein Kolivand semalam menyatakan bahawa, tiada mangsa selamat ditemukan di lokasi helikopter terhempas di barat laut Iran yang membawa Raisi.

Helikopter Raisi terhempas pada petang Ahad di kawasan Varzaqan, ketika beliau dalam penerbangan pulang bersama Menteri Luar Hossein Amirabdollahian dan beberapa individu lain daripada upacara perasmian empangan di sempadan Iran dan Azerbaijan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan