AM

Perbadanan Labuan Pertingkat Perpaduan Bandar Melalui Pengindahan Musim Perayaan

23/05/2024 02:16 PM

LABUAN, 23 Mei (Bernama) -- Perbadanan Labuan (LC) kekal komited untuk memupuk perpaduan masyarakat berbilang kaum melalui usaha berterusannya untuk mengindahkan bandar itu dalam menyambut pelbagai perayaan kebudayaan.

Usaha ini merangkumi perayaan-perayaan utama seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Krismas, yang mencerminkan kepelbagaian budaya Labuan.

Ketua Pegawai Eksekutif LC Rithuan Ismail berkata, memandangkan masyarakat etnik Sabah dan Sarawak di pulau ini tidak sabar menantikan Pesta Kaamatan (Pesta Menuai) dan Hari Gawai yang akan disambut bulan ini dan awal Jun, LC sekali lagi mempertingkatkan projek pengindahannya.

“Pengindahan bandar dengan berasaskan kebudayaan sentiasa disediakan untuk sambutan perayaan masyarakat. Beginilah pihak berkuasa tempatan menyambut setiap perayaan.

"Labuan adalah rumah kepada pelbagai kumpulan etnik dari Labuan sendiri, Sabah, Sarawak, dan Semenanjung Malaysia...kami sentiasa melakukan bahagian kami untuk menjadi sebagai sebahagian daripada masyarakat," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata projek pengindahan itu tertumpu terutamanya di Bulatan Merdeka, tapak yang mempunyai kepentingan sejarah dan tempat kegemaran penduduk tempatan dan pelancong untuk mengabadikan detik-detik yang tidak dapat dilupakan.

Rithuan menyatakan titik fokus ini mempamerkan perpaduan budaya yang terserlah semasa musim perayaan, meningkatkan daya tarikan bandar dan memupuk semangat kemasyarakatan di kalangan penduduknya yang pelbagai.

“Melalui usaha pengindahan yang berterusan ini, LC terus memainkan peranan penting dalam menyatukan masyarakat berbilang kaumnya, meraikan kekayaan warisan budaya yang mendefinisikan Labuan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan