AM

TENGKU MAHKOTA PAHANG BERKENAN RASMI KULIYYAH PELANCONGAN MAMPAN DAN BAHASA KONTEMPORARI UIAM

27/05/2024 05:07 PM

MUAR, 27 Mei (Bernama) -- Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Kuliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari (KSTCL) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh di sini hari ini.

Keberangkatan tiba baginda kira-kira pukul 10.45 pagi disambut Presiden UIAM Tan Sri Samsudin Osman, Rektor UIAM Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dan Pegawai Daerah Muar Hasrin Kamal Hashim.

Samsudin dalam ucapannya di majlis itu berkata asakan industri teknologi pada hari ini yang sangat mencabar, justeru ia perlu diberi perhtian oleh warga kuliyyah.

"Pada hari ini, kita perlu merasa bimbang apabila menyebut tentang Revolusi Perindustrian. Kita bimbang industri ini akan melupuskan nilai kemanusiaan atau dikenali dengan istilah dehumanisation of men

"Justeru pertahankanlah nilai dan asas yang baik supaya kita tidak melahirkan robot yang hanya pandai berkata-kata namun kosong dengan nilai, adab dan akhlak," katanya.

Beliau berkata di samping aspek nilai, kemampanan juga perlu diberikan perhatian bagi menjaga kelestarian alam sekitar sekali gus selari dengan apa yang diperjuangkan universiti itu selama ini.

"Jika tumpuan hanya diberikan kepada cara untuk membangunkan kawasan pelancongan, namun amat menyedihkan apabila bukit-bukau dibiarkan ditarah dan balak ditebang tanpa kawalan, maka hal itu amat bertentangan dengan maksud kemampanan yang kita perjuangkan selama ini,” katanya,

Sementara itu Pejabat Komunikasi, Advokasi dan Promosi UIAM dalam kenyataan memaklumkan KSTCL sebelum ini dikenali dengan nama Kuliyyah Bahasa dan Pengurusan (KLM) terletak di UIA Kampus Gombak, sebelum berpindah ke Hab Pendidikan Tinggi, Bandar Universiti Pagoh pada 2017.

Pada Mac 2024, universiti itu menerima kelulusan penjenamaan semula KLM kepada KSSTCL oleh Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi dan diluluskan dalam Mesyuarat Senat UIAM serta Mesyuarat Ahli Lembaga Gabenor UIAM.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan